
SEPANGGAR – Pendakwah terkenal dari Indonesia, Ustaz Abdul Somad (UAS) berjaya menarik lebih 3,000 orang menghadiri wacana ilmu bertajuk ‘Keluarga Bahagia Masyarakat Sejahtera’ di Institut Latihan Perindustrian Kota Kinabalu (ILPKK) pada Khamis lalu.
Walaupun cuaca hujan, orang ramai dilihat tetap setia menunggu dan tidak berganjak dari tempat duduk masing-masing sehingga majlis berakhir dengan doa penutup yang dipimpin oleh UAS.
Dalam ceramah yang berlangsung selama hampir satu jam tersebut, UAS menekankan mengenai kebahagiaan sebenar dalam sesebuah institusi keluarga perlu dibina atas asas iman dan kasih sayang dengan meletakkan Allah sebagai keutamaan tertinggi.
Katanya, nilai sesebuah keluarga bahagia bukan hanya dinilai dari sudut material semata-mata, tetapi melalui hubungan yang dipenuhi nilai murni serta komunikasi yang berkesan antara suami, isteri dan anak-anak.
Sepanjang sesi tersebut, UAS turut menekankan kepentingan mendidik anak-anak dengan akhlak yang baik, selain menyarankan hadirin untuk mencontohi teladan Rasulullah SAW dalam membina keharmonian rumah tangga.

Wacana ilmu ini juga secara tidak langsung menjadi platform penting dalam menguatkan kesedaran bahawa pembentukan masyarakat yang sejahtera sebenarnya bermula daripada kekuatan institusi keluarga yang kukuh.
Melalui pengisian berlandaskan nilai agama, program ini berjaya mencapai objektifnya dalam memberikan kefahaman yang lebih mendalam mengenai tanggungjawab setiap ahli keluarga dalam menjaga keharmonian hidup bermasyarakat.
Program berskala besar tersebut dianjurkan oleh Pejabat Parlimen Sepanggar dengan kerjasama strategik daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Sabah dan Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM) Sabah.
Turut hadir menyaksikan wacana ilmu tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) merangkap Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Ts. Mustapha Sakmud, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Ali Akhbar Gulasan.
Kehadiran pemimpin-pemimpin tempatan ini menunjukkan sokongan terhadap program-program keilmuan yang mampu memberi impak positif kepada pembangunan modal insan dan sosial di kawasan Sepanggar.





