JOHAN Setia merekodkan kawasan paling berjerebu di Selangor berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat iaitu 152 setakat 8 pagi ini.
Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia Jabatan Alam Sekitar (JAS) beberapa kawasan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak mencatat bacaan sederhana.
Berdasarkan klasifikasi JAS, bacaan IPU antara 101 hingga 200 yang boleh memberikan kesan kepada golongan berisiko tinggi termasuk warga emas, kanak-kanak serta individu yang menghidap penyakit pernafasan.
Data IPU dikeluarkan setiap jam berdasarkan 68 stesen pengawasan kualiti udara di seluruh negara dan orang ramai boleh merujuk laman sesawang https://eqms.doe.gov.my/APIMS/main atau memuat turun aplikasi MyJAS EQMS di Google Play atau App Store.
Kementerian Kesihatan juga mengeluarkan nasihat kesihatan dan langkah pencegahan ketika jerebu yang boleh didapati menerusi laman sesawang www.moh.gov.my.






