
TAWAU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau berjaya mematahkan cubaan seorang lelaki menyeludup keluar 30 tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi ke negara jiran, pada Ahad.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Ariffin Ghazali berkata, kejayaan itu susulan maklumat risikan berkenaan pergerakan mencurigakan sebuah bot kargo yang bergerak keluar dari Jeti Batu 3, Tawau menuju ke Pulau Sebatik pada pukul 6.20 pagi.
“Bot peronda Maritim Malaysia yang sedang menjalankan OP PLUTO TIMUR dan OP TIRIS kemudian berjaya memintas bot kargo berkenaan di kedudukan 1.6 batu nautika selatan Batu 3.
“Pemeriksaan mendapati juragan tempatan berumur 36 tahun membawa muatan 30 LPG berisi tanpa sebarang permit kebenaran selain namanya tidak terdaftar dalam lesen bot, ” katanya dalam kenyataan media, pada Isnin.
Kesemua barangan termasuk bot kargo, enjin bot dan tong gas dengan nilai keseluruhan dianggarkan lebih RM30,000 akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Tegas Ariffin, pihaknya akan terus memperketat pemantauan terhadap ketirisan barangan bersubsidi terutama di lokasi hotspot yang dikenal pasti susulan taktik licik sindiket yang memilih waktu sunyi bagi mengelak dikesan penguat kuasa.





