
MIRI – Sebuah bot tunda ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri kerana gagal mempamerkan dokumen yang sah serta tidak mengemukakan ‘port clearance’ semasa memasuki Pelabuhan Malaysia.
Pengarah Zon Maritim Miri, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad memaklumkan bahawa bot tersebut ditahan pada kedudukan lebih kurang 3.5 batu nautika barat muara Sungai Miri dalam operasi Op Permai 01/2019 dan Op Tiris 3.0 sekitar 5.50 petang semalam.
“Bot tunda berkenaan bersama 11 kru, termasuk nakhoda, yang berusia dalam lingkungan 22 hingga 41 tahun telah ditahan dan diiring ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Miri dan mereka kemudian diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya.
Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana gagal mempamerkan dokumen sah dan mengemukakan Domestic Shipping License (DSL), serta di bawah Akta Kastam 1967 kerana tidak memiliki port clearance semasa memasuki perairan Malaysia.
Maritim Malaysia menegaskan komitmen mereka dalam memastikan keselamatan dan pematuhan undang-undang di sepanjang perairan negara melalui rondaan dan pemantauan berterusan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat, aduan, atau mengalami kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim (PUSOP) Zon Maritim Miri di talian 085-649 111, Maritim Negeri Sarawak di 082-432544 / 082-432016, atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.








