
KUCHING – Pentadbiran Sarawak menegaskan komitmen untuk melaksanakan pembangunan negeri yang seimbang, mampan dan berpaksikan prinsip maqasid syariah, iaitu memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, konsep pembangunan dalam Islam bukan sekadar mengejar kemajuan fizikal semata-mata, sebaliknya menuntut keseimbangan rohani, akal dan nilai kemanusiaan.
“Islam mengajar kita pembangunan mesti berlandaskan nilai Ilahi. Pendidikan, ilmu pengetahuan dan pembinaan modal insan adalah tuntutan agama yang tidak boleh diabaikan. Generasi pewaris Sarawak perlu dilengkapi dengan ilmu dan akhlak agar dapat mentadbir negeri serta memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya ketika berucap sempena sambutan Maulidur Rasul 1447 Hijrah di Padang Merdeka pada Sabtu.
Menurut beliau, pelaksanaan Post Covid Development Strategy (PCDS) 2030 adalah antara usaha penting kerajaan negeri untuk memastikan keseimbangan antara ekonomi digital, alam sekitar, sosial dan inklusiviti.
“Ilmu adalah asas kemuliaan insan. Tetapi ilmu tanpa adab dan akhlak akan melemahkan masyarakat. Sebab itu pendidikan moral dan nilai mesti berjalan seiring dengan kecemerlangan akademik,” tegasnya.
Beliau menambah, hanya dengan mengangkat martabat ilmu dan memperkukuh pembentukan akhlak, umat Islam di Sarawak mampu menjadi ummah yang maju, makmur dan berdaya saing di pentas global.






