KUALA LUMPUR – Persidangan Dewan Rakyat gamat seketika apabila istilah ‘mambang’ dan ‘mamba’ yang dilontarkan secara sinis oleh Ahli Parlimen (PN) Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid mencetuskan pertikaman lidah antara wakil rakyat kerajaan dan pembangkang.
Sindiran yang dikaitkan terhadap enam ahli Parlimen pembangkang yang didakwa beralih sokongan kepada kerajaan mendapat bantahan keras daripada Ahli Parlimen (PH) Jelutong, RSN Rayer yang turut disokong oleh Ahli Parlimen (PH) Kampar, Chong Zhemin.
Rayer memaklumkan, perkataan itu dilihat telah melanggar kepada Peraturan Mesyuarat 36(4) yang melarang bahasa kesat, menyindir atau kurang sopan digunakan dalam Dewan.
“Itu ( mambang dan mamba) perkataan kurang sopan.
“Ini bukan perkara untuk dijadikan gurauan. Jangan hina,” tegas Rayer sambil menuntut agar Rosol dan Ahli Parlimen (PN) Kota Bharu, Datuk Takiyudin Hassan menarik balik kenyataan tersebut.
Keadaan semakin tegang apabila beberapa Ahli Parlimen lain mula mengeluarkan kenyataan berbaur tuduhan seperti ‘DAP memang anti-Islam’ dan ‘Ini memang standard Pas’ sehingga mencetuskan kekecohan.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul beberapa kali menenangkan keadaan dan meminta semua ahli Parlimen kembali bertenang apabila lebih ramai Ahli Parlimen bersuara dan ‘menjerit’ dari kedua-dua belah blok.
Johari menyeru agar istilah seperti ‘mambang’, ‘mamba’ atau seumpamanya tidak lagi digunakan dalam perbahasan bagi mengelakkan salah faham serta gangguan terhadap urusan Dewan Rakyat.
“Kalau saya sendiri tak faham maksud mambang apatah lagi rakyat di luar sana. Mambang di tempat saya maksudnya mungkin cantik, hebat tapi di tempat lain mungkin makna berbeza.
“Jadi saya minta, elakkan guna perkataan yang boleh menimbulkan kekeliruan atau sindiran.
“Gunalah perkataan yang standard, jelas dan difahami semua. Kalau tidak, akan berlaku miscommunication antara kita. Saya minta kita semua hormat dewan,” katanya.
Insiden itu tercetus susulan perbahasan berkaitan status enam Ahli Parlimen pembangkang yang didakwa menyokong kerajaan namun belum membuat sebarang pengesahan rasmi.








