
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi mengumumkan penyaluran dana tambahan berjumlah RM100 juta bagi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin yang terus menderita akibat kekejaman rejim Zionis.
Menurut Anwar, dana tersebut merupakan tambahan kepada sumbangan awal sebanyak RM100 juta yang telah diumumkan oleh Kerajaan MADANI dua tahun lalu, yang kemudian turut disokong oleh pelbagai pihak termasuk syarikat korporat dan rakyat Malaysia.
Beliau menjelaskan bahawa bantuan tambahan tersebut amat diperlukan memandangkan kebanyakan bekalan makanan dan ubat-ubatan yang dihantar sebelum ini tidak berjaya disalurkan kepada penduduk Gaza disebabkan oleh sekatan rejim Israel.
“Mereka (syarikat dan rakyat) sudah membantu sebelum ini dengan pelbagai bentuk bantuan. Namun dengan sekatan oleh Zionis Israel, banyak barang rosak dan tidak sampai kepada rakyat Gaza,” katanya semasa menyampaikan syarahan umum pada Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza yang berlangsung di Dataran Merdeka malam tadi.
Anwar turut menyeru lebih banyak penyertaan daripada syarikat besar dan komuniti korporat untuk terus menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin, sambil mengajak mereka mengambil iktibar daripada nikmat keamanan serta kebebasan yang dinikmati di Malaysia.
“Saya akan minta rakan-rakan agar terus prihatin terhadap penderitaan rakyat Palestin. Mereka telah banyak membantu sebelum ini, namun segala bantuan dimusnahkan oleh rejim Zionis,” katanya lagi.

Acara malam tersebut merupakan kemuncak kepada Karnival Sumud Nusantara 2025 yang berlangsung sejak Jumaat lalu, anjuran bersama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Cinta Gaza Malaysia, di bawah penaung Perdana Menteri selaku Penaung Sumud Nusantara.
Majlis turut diserikan dengan solat hajat khusus bagi pembebasan Gaza, bacaan Qunut Nazilah, persembahan selawat oleh kumpulan qasidah Majelis AzZahir yang dipimpin oleh Habib Ali Zainal Abidin Assegaf, serta tausiah peduli ummah yang disampaikan oleh tokoh pendakwah ternama.
Terdahulu, majlis turut menyaksikan pembacaan Deklarasi Sumud Nusantara oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, Datuk Dr Ahmad Sani Araby Al-Kahery, yang menggariskan komitmen teguh Malaysia dalam memperjuangkan kebebasan Palestin.
Pada majlis tersebut juga, Anwar melepaskan Konvoi Sumud Nusantara 2025 bagi Flotilla Gaza, yang menghimpunkan delegasi dari Malaysia, Indonesia, Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka, Maldives, Filipina dan Thailand.





