PUTRAJAYA – Malaysia akan terus berbincang dengan Amerika Syarikat (AS) bagi menangani isu-isu yang belum selesai, memperjelas skop serta kesan tarif yang baharu diumumkan.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memaklumkan, usaha terbabit masih berterusan dan mencerminkan kesediaan Malaysia untuk mencapai tahap yang adil dan hasil yang mampan untuk kedua-dua pihak.
“Malaysia komited untuk meneruskan kerjasama dengan Amerika Syarikat demi mencapai satu perjanjian perdagangan yang seimbang, saling menguntungkan, dan menyeluruh.
“Walaupun kami mengakui kebimbangan yang dibangkitkan oleh AS mengenai ketidakseimbangan perdagangan dan akses pasaran, kami percaya penglibatan yang membina dan dialog kekal sebagai jalan terbaik ke hadapan,” kata menerusi kenyataan pada Selasa.
Kementerian itu berkata demikian bagi memberi respons terhadap pengumuman terbaharu AS berhubung kadar tarif 25 peratus ke atas eksport Malaysia yang akan berkuat kuasa pada 1 Ogos 2025.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berkata langkah itu perlu diambil untuk ‘melindungi industri tempatan Amerika Syarikat’ daripada apa yang disifatkan sebagai amalan perdagangan tidak adil oleh beberapa negara.

Dalam pada itu, kata MITI, Malaysia percaya kedua-dua pihak boleh mencari penyelesaian yang boleh diterima bersama demi memelihara menjaga kepentingan bersama.
“Di samping, memastikan perdagangan dan pelaburan dua hala kekal kuasa positif untuk pembangunan ekonomi yang mampan.
Tegasnya, Kerajaan Malaysia tetap komited untuk melindungi kepentingan rakyat, perniagaan, pekerja dan pengguna, dan akan mengambil semua langkah yang perlu untuk mengurangkan kesannya daripada langkah-langkah baharu ini.
AS ialah rakan dagangan kedua terbesar Malaysia dan destinasi eksport terbesar, dengan jumlah keseluruhan perdagangan pada 2024 meningkat hampir 30 peratus kepada RM324.9 bilion (AS$71.4 bilion).
Manakala eksport ke AS pula mencecah RM198.7 bilion (AS$43.7 bilion), manakala import meningkat kepada RM126.3 bilion (AS$27.7 bilion).






