
GAGASAN Malaysia MADANI bukan sekadar slogan atau penjenamaan politik, sebaliknya kesinambungan proses panjang pembinaan negara bangsa yang diperkukuh dengan pendekatan reformasi lebih menyeluruh, kata Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Datuk Ismail Yusop.
Beliau berkata, memahami latar belakang kemunculan gagasan itu amat penting, terutama suasana politik dan pentadbiran negara ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih kepimpinan Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ismail berkata, ramai mungkin terlupa bahawa Malaysia ketika itu berdepan ketidaktentuan politik, kegagalan kepimpinan pasca PRU14, selain tekanan ekonomi dan kesan pandemik COVID-19 yang menghakis keyakinan rakyat serta penjawat awam terhadap kerajaan.
“Selepas PRU14, negara melalui tiga pertukaran Perdana Menteri dalam tempoh singkat, ditambah krisis politik dan ekonomi yang menggugat keyakinan rakyat. Keadaan ini mewujudkan dua faktor utama iaitu, fear factor’ dan ‘deficit in trust’.
“Inilah latar besar yang melatari pengenalan Malaysia MADANI. Ia bukan muncul secara tiba-tiba, tetapi lahir daripada keperluan memulihkan kepercayaan rakyat dan menstabilkan negara,” katanya dalam podcast Minda Tok Abah pada Jumaat.
Beliau menjelaskan, cabaran bertambah apabila keputusan PRU15 menyaksikan tiada mana-mana gabungan memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan, sekali gus membawa kepada pembentukan Kerajaan Perpaduan yang kini dikenali sebagai Kerajaan MADANI melalui titah Yang di-Pertuan Agong agar parti yang memperoleh kerusi terbanyak berunding bagi mencapai persetujuan.
“Situasi ‘Parlimen tergantung’ ketika itu menimbulkan persoalan sama ada kerajaan baharu dapat bertahan kerana gabungan parti-parti yang sebelum ini bersaing sengit terpaksa duduk semeja bagi membentuk kerajaan.
“Sebab itu gagasan Malaysia MADANI hadir sebagai rangka besar yang memberi hala tuju, mengembalikan kepercayaan dan menstabilkan pentadbiran,” katanya.
Mengulas lanjut, Ismail berkata, Malaysia MADANI menekankan nilai islah atau pembaharuan, iaitu pendekatan reformasi yang lebih radikal namun berakar dalam kesinambungan pentadbiran negara.
“Ketika peluncuran dasar Malaysia MADANI, Perdana Menteri menegaskan gagasan ini ialah kesinambungan, bukan pemutusan daripada dasar-dasar terdahulu.
“Kita mewarisi apa yang baik, memperbaiki apa yang kurang dan memulihkan apa yang rosak. Inilah yang ingin dibawa oleh Malaysia MADANI iaitu proses pembangunan negara bangsa yang diteruskan dengan semangat pembaharuan,” katanya.
Beliau menegaskan kembali bahawa memahami konteks kemunculan gagasan itu adalah penting agar masyarakat dapat menilai secara adil hala tuju kerajaan, selain mengelakkan kekeliruan bahawa Malaysia MADANI hanya sekadar kempen politik.





