
MALAYSIA mencatat peningkatan ketara sebanyak 11 anak tangga untuk berada di kedudukan ke-23 dalam Ranking Daya Saing Dunia (World Competitiveness Ranking, WCR) 2025 yang diterbitkan oleh Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) yang berpangkalan di Switzerland.
Menurut kenyataan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), pencapaian ini merupakan yang terbaik sejak tahun 2020, sekali gus mencerminkan pengukuhan prestasi ekonomi negara serta pelaksanaan reformasi berterusan.
Peningkatan ini turut menyokong aspirasi negara untuk menduduki kelompok 12 ekonomi paling berdaya saing menjelang tahun 2033 sebagaimana digariskan dalam Kerangka Ekonomi MADANI.
“Kedudukan keseluruhan Malaysia dalam WCR 2025 didorong oleh peningkatan dalam tiga faktor utama, iaitu Prestasi Ekonomi, Kecekapan Kerajaan dan Kecekapan Perniagaan,” jelas kenyataan tersebut.
Laporan WCR menilai 69 buah ekonomi berdasarkan keupayaan masing-masing untuk mewujudkan dan mengekalkan persekitaran mesra perniagaan yang menyumbang kepada kemakmuran jangka panjang. Malaysia mencatat peningkatan daripada kedudukan ke-34 pada tahun 2024 kepada tempat ke-23 tahun ini.
Dalam aspek Prestasi Ekonomi, Malaysia melonjak empat anak tangga ke kedudukan keempat terbaik dunia berbanding tempat kelapan pada tahun sebelumnya. Kecekapan Kerajaan dan Kecekapan Perniagaan masing-masing menunjukkan peningkatan sebanyak lapan anak tangga.
Subfaktor Perdagangan Antarabangsa turut mencatat kemajuan memberangsangkan dengan kenaikan 11 anak tangga, meletakkan Malaysia di kedudukan keenam berbanding tangga ke-17 pada tahun lalu.
Kenaikan ini dipacu oleh pertumbuhan kukuh eksport barangan dan perkhidmatan, kepelbagaian pasaran, serta peningkatan hasil pelancongan yang mengukuhkan lebihan dagangan negara.
MITI melalui Jawatankuasa Daya Saing Negara (JKDSN) yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, terus menyelaras hala tuju strategik merentas pelbagai kementerian dan agensi bagi memperkukuh ekosistem daya saing negara.
Di peringkat pelaksanaan, Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) yang diterajui Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, memainkan peranan penting dalam memastikan pelaksanaan reformasi yang berkesan termasuk lebih 1,000 inisiatif di bawah program Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB), seiring dengan aspirasi Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA).
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, pencapaian ini membuktikan bahawa pengurangan kerenah birokrasi berkait rapat dengan peningkatan pelaburan dan pembangunan industri negara.
“Pendekatan Kerajaan MADANI yang berteraskan prinsip ‘keseluruhan kerajaan’ (whole of government) dalam meningkatkan daya saing negara menunjukkan kesungguhan kita untuk melaksanakan penambahbaikan dan pembaharuan struktur secara menyeluruh,” katanya.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa dengan tadbir urus yang mantap, komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dan negeri, serta kerjasama erat dengan sektor industri, Malaysia berada di landasan tepat untuk mencapai matlamat menjadi antara 12 ekonomi paling berdaya saing di dunia sebelum tahun 2033.






