
PUTRAJAYA – Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan rejim Zionis Israel ke atas enam anggota Pasukan Batalion Malaysia (Malbatt) di Lubnan, semalam.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, tindakan Israel yang berterusan sehinggs melakukan serangan menyasarkan kedudukan tentera pengaman PBB tidak boleh diterima.
“Kerajaan Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan kejam rejim Zionis Israel terhadap sebuah kenderaan yang berada berhampiran dengan bas yang mengangkut sejumlah tentera Malbatt.
“Ini tidak boleh diterima. Kita mengutuk sekeras-kerasnya tindakan serangan berterusan terhadap Lubnan dan pasukan Unifil, yang mana Malbatt antara sebahagian pasukan tersebut,” katanya pada sidang media selepas pasca Mesyuarat Kabinet, hari ini.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, tindakan susulan berkenaan insiden yang melibatkan tentera Malaysia itu akan dilaksana oleh Kementerian Pertahanan.
“Menteri Pertahanan telah sebut mengenai perancangan sekiranya perlu diambil apa apa tindakan, kita akan rujuk kepada Kementerian Pertahanan selepas ini,” katanya.
Enam anggota Pasukan Batalion Malaysia (Malbatt) 850 disahkan cedera dalam insiden letupan yang berdekatan Stadium Saida, Lubnan sekitar jam 7.54 malam waktu Malaysia pada Khamis.

Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam kenyataan berkata, kejadian berlaku ketika pergerakan anggota Malbatt 850-12 dari Beirut ke Kem Marakah.
Daripada jumlah itu, lima anggota melibatkan Malbatt 850-12 mengalami pelbagai cedera ringan termasuk seorang cedera di bahagian tangan (suspected closed fracture left arm).
Seorang lagi membabitkan anggota Malbatt 850-11 juga mengalami cedera ringan. Anggota yang cedera di tangan telah segera dibawa ke Hospital Hamood di Saida untuk mendapatkan rawatan oleh Pegawai Perubatan Malbatt 850-11.
Dalam pada itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan mempunyai rancangan sandaran sekiranya keadaan di selatan Lubnan menjadi semakin meruncing berikutan tindakan agresif Israel sehingga Pasukan Interim PBB di Lubnan (Unifil) membuat keputusan untuk berundur.
Tegasnya, buat masa ini komitmen negara masih berterusan seperti negara-negara lain yang menghantar anggota tentera mereka ke Lubnan.



