PUTRAJAYA – Penubuhan Mahkamah Tinggi Khas Rasuah bagi mendengar perbicaraan kes rasuah serta rayuan daripada Mahkamah Sesyen Khas Rasuah merupakan satu langkah yang signifikan dalam landskap reformasi kehakiman negara.
Pensyarah Kanan Fakulti Undang-undang dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Hussain Yusri Zawawi berkata, inisiatif itu juga mencerminkan komitmen badan kehakiman terhadap integriti dan ketelusan.
Dengan adanya mahkamah khusus, beliau menegaskan bahawa mesej yang dihantar kepada masyarakat adalah jelas bahawa kes rasuah tidak dianggap sebagai kes biasa, sebaliknya diberi keutamaan oleh kerajaan dan pihak berwajib.
“Dari sudut keperluan, kes rasuah lazimnya melibatkan isu teknikal, dokumen kewangan yang kompleks serta saksi pakar. Tanpa kepakaran khusus dan pengurusan kes yang terfokus, perbicaraan boleh menjadi terlalu panjang dan berlarutan.
“Mahkamah khas yang memberi tumpuan khusus kepada kes rasuah berpotensi mempercepatkan proses perbicaraan, mengurangkan kes tertunggak serta memastikan hakim yang mengendalikan kes mempunyai pengalaman dan kefahaman mendalam tentang undang-undang antirasuah.
“Dalam hal ini, ia bukan sekadar simbolik, tetapi satu mekanisme praktikal meningkatkan kecekapan sistem kehakiman. Apatah lagi penubuhannya selaras dengan hasrat Yang di-Pertuan Agong dan menunjukkan keseriusan peringkat tertinggi negara bagi menangani isu rasuah secara lebih tersusun dan sistematik,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Hussain berkata, kewujudan mahkamah khas itu juga mempamerkan kesungguhan institusi kehakiman untuk memastikan pengendalian kes rasuah dilakukan secara profesional, bebas daripada campur tangan, dan berlandaskan prinsip kedaulatan undang-undang.
Namun begitu, komitmennya perlu dibuktikan melalui pelaksanaan konsisten, bukan sekadar pengumuman dasar walaupun penubuhannya sebagai perkembangan positif dan bertepatan dengan keperluan semasa, khususnya dalam konteks Malaysia yang sedang berusaha memperkukuh integriti institusi serta memulihkan keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan.
“Penubuhan Mahkamah Tinggi Khas Rasuah berpotensi meningkatkan persepsi bahawa sistem keadilan negara lebih serius dan responsif terhadap jenayah kolar putih. Rakyat selama ini sering mempersoalkan kelewatan perbicaraan dan keputusan yang dilihat tidak seimbang dalam kes berprofil tinggi.
“Jika mahkamah itu dapat memastikan perbicaraan berjalan secara adil, terbuka dan tanpa lengah yang tidak munasabah, maka tahap kepercayaan awam terhadap institusi kehakiman akan meningkat secara beransur-ansur. Namun, jika ia gagal menunjukkan perbezaan ketara dari segi ketelusan dan keputusan, maka persepsi masyarakat akan terus wujud,” katanya.

Dalam pada itu, Hussain memaklumkan, langkah itu juga selari dengan aspirasi Pelan Antirasuah Nasional serta agenda reformasi institusi negara yang menekankan tadbir urus baik, akauntabiliti dan integriti.
“Dalam konteks yang lebih luas, pembentukan mahkamah khas merupakan sebahagian daripada pendekatan holistik dalam memerangi rasuah, yang turut melibatkan penguatkuasaan oleh agensi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), penambahbaikan undang-undang serta pendidikan integriti dalam masyarakat.
“Reformasi tidak boleh bersifat terpisah dan ia perlu bergerak secara menyeluruh merangkumi aspek pencegahan, penguatkuasaan dan penghakiman,” katanya.
Sementara itu, bagi memastikan tidak wujud persepsi pendakwaan terpilih, Hussain berpandangan beberapa penambahbaikan harus dipertimbangkan, antaranya ketelusan dalam proses pendakwaan dan alasan penghakiman hendaklah diperincikan dan boleh diakses oleh umum, tertakluk kepada batas undang-undang.
“Pada masa sama, pemilihan hakim bagi mahkamah khas perlu dilakukan secara profesional dan bebas daripada sebarang pertimbangan politik. Pendakwa raya juga perlu memperkukuh prinsip kebebasan profesional agar tidak dilihat dipengaruhi kepentingan tertentu.
“Selain itu, laporan berkala mengenai prestasi mahkamah khas, termasuk tempoh penyelesaian kes dan kadar sabitan, boleh membantu meningkatkan akauntabiliti,” katanya.
Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Noor Ruwena Md Nurdin dilantik mengetuai Mahkamah Tinggi Rasuah Khas Kuala Lumpur yang baharu berkuat kuasa 1 April.
Arahan Pertukaran Hakim Mahkamah Tinggi Malaya itu dinyatakan dalam Pekeliling Bilangan 3/2026 yang disiarkan di laman sesawang Badan Peguam Malaysia.
Penubuhan mahkamah khas berkenaan menyusuli titah diraja oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ketika pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 pada 19 Januari lalu.





