
KOTA KINABALU – Beberapa daerah di Sabah berdepan ujian dalam bulan Ramadan penuh berkat apabila dilanda banjir susulan hujan berterusan sejak Khamis.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Kerajaan Negeri menzahirkan rasa simpati mendalam kepada semua mangsa yang terkesan dan menegaskan bahawa keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.
“Semua agensi keselamatan dan jabatan berkaitan telah digerakkan bagi melaksanakan operasi pemindahan, penyelamatan serta penyaluran bantuan kepada penduduk di kawasan terjejas.
“Kerajaan Negeri juga sedang dan akan terus memantau keadaan semasa bagi memastikan bantuan disampaikan dengan cepat dan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook miliknya, pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau turut merayu agar penduduk di kawasan terlibat sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa serta mengutamakan keselamatan diri dan keluarga.
“Semua penduduk di kawasan-kawasan yang dilanda banjir di Kota Marudu, Pitas, Paitan dan Sandakan serta kawasan berhampiran supaya sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa dan mengutamakan keselamatan diri serta keluarga.
“Jangan sesekali mengambil sebarang risiko,” tegasnya.
Dalam bulan Ramadan yang penuh rahmat, Hajiji menyeru semua masyarakat saling mendoakan dan menghulurkan bantuan mengikut kemampuan masing-masing.
“Semoga Allah SWT mengurniakan kekuatan, ketabahan dan perlindungan kepada semua yang sedang diuji,” ujarnya.
Antara kawasan terjejas ialah Kota Marudu, Pitas, Paitan dan Sandakan termasuk kawasan berhampiran.





