
PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said meminta semua pihak supaya menunggu sehingga selesai istiadat di Istana Negara esok berhubung pelantikan 14 hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi.
“Esok, esok, dia orang akan terima watikah daripada Yang di-Pertuan Agong. Itu yang saya baca dalam laporan media, jadi tahniah kepada mereka,” katanya lapor BH.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pelantikan hakim di ketiga-tiga peringkat mahkamah berkenaan.Azalina ditemui selepas merasmikan Ruang Pejabat Bahagian Pembelaan Awam, pelancaran Kembara Justice on Wheels (JoW) serta pentauliahan pegawai pengantara Jabatan Bantuan Guaman, di sini, hari ini.
Portal berita Free Malaysia Today (FMT) melaporkan dua hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Ravinthran Paramaguru dan Datuk Azmi Ariffin, dijangka dinaikkan ke Mahkamah Persekutuan esok.
Kedua-dua mereka merupakan antara 14 hakim yang dijangka menerima watikah pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.
Menurut laporan yang memetik sumber, pelantikan itu sekali gus melengkapkan kesemua 11 jawatan di mahkamah tertinggi negara yang diisi sepenuhnya buat kali pertama.
Sementara itu, enam hakim Mahkamah Tinggi dijangka dinaikkan ke Mahkamah Rayuan, iaitu Hakim Dean Wayne Daly, Datuk Aliza Sulaiman, Datuk Amarjeet Singh Serjit Singh, Datuk Seri Mohd Radzi Harun, Datuk Seri Latifah Mohd Tahar dan Datuk Ahmad Shahrir Salleh.
Selain itu, enam Pesuruhjaya Kehakiman yang dilantik pada 2023 dijangka disahkan sebagai hakim Mahkamah Tinggi, iaitu Dr Suzana Muhamad Said, Yusrin Faidz Yusoff, Arziah Mohamed Apandi, Gan Techiong, Datuk Hazizah Kassim dan Suriyati Hasimah Hashim.






