
KOTA KINABALU – Pengerusi DAP Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe, secara rasmi dilantik sebagai Ahli Dewan Negara bersama 12 senator lain.
Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah berkata, seramai 13 Ahli Dewan Negara, termasuk enam lantikan baharu, mengangkat sumpah jawatan dalam satu majlis yang menandakan permulaan tempoh perkhidmatan mereka di Dewan Negara.
“Enam lantikan baharu itu ialah pemangku Ketua UMNO Bentong, Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh; Ketua Wanita MCA, Datuk Wong You Fong; Pengerusi DAP Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe; Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali; Penolong Setiausaha DAP Sarawak, Larry Asap dan R Thiagarajah.
“Enam ahli yang dilantik semula termasuk Tan Sri Low Kian Chuan, Datuk Seri Prof Dr Awang Sariyan, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli, Isaiah D Jacob, Mohd Hasbie Muda, dan Abun Sui Anyitm, manakala Abdul Nasir Idris dipilih semula oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah,” ujarnya seperti yang dilaporkan Berita Harian, pada Isnin.
Menurut laporan tersebut, pelantikan itu adalah selaras dengan Perkara 45(1)(a) dan 45(1)(b) Perlembagaan Persekutuan, yang memberi setiap negeri hak melantik dua ahli bagi mewakili negeri mereka di badan legislatif tertinggi negara.
“Pelantikan ini memberikan suara kepada negeri di Dewan Negara yang berperanan menyemak dan mengimbangi tindakan eksekutif serta Dewan Rakyat berdasarkan prinsip pengasingan kuasa,” ujarnya.
Awang Bemee berkata, dunia kini berdepan cabaran geopolitik dan ekonomi, termasuk gangguan rantaian bekalan global, ketidaktentuan pasaran tenaga, peningkatan kos logistik, dan tekanan inflasi yang menjejaskan kos sara hidup rakyat.
“Parlimen Malaysia kini memasuki fasa penting dengan penguatkuasaan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025, manakala Dewan Negara turut meluluskan pindaan peraturan mesyuarat pada 9 Mac lalu.
“Antaranya termasuk penubuhan lima Jawatankuasa Pilihan baharu seperti Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Jawatankuasa Perdagangan dan Perhubungan Antarabangsa, serta Jawatankuasa Keterjaminan Makanan dan Ekonomi,” jelas kenyataan tersebut.
Beliau turut menekankan pentingnya Senator berperanan dalam mendidik masyarakat tentang prinsip keluhuran perlembagaan, demokrasi berparlimen, dan kedaulatan undang-undang, bukan hanya di dalam dewan tetapi melalui platform digital dan media sosial secara bertanggungjawab.
“Pelantikan enam ahli baharu ini adalah untuk tempoh tiga tahun sehingga 10 Mei 2029, manakala lantikan semula berlangsung dari 20 Mac 2026 hingga 19 Mac 2029,” katanya.
Dengan pelantikan tersebut, Jin Zhe yang juga Timbalan Presiden Perikatan Harapan (PH) Sabah kini berada di barisan hadapan dalam usaha memperkukuh peranan DAP dan PH Sabah di peringkat nasional serta mewakili kepentingan rakyat Sabah di Dewan Negara.






