PUTATAN – Sebanyak lima projek Inisiatif Kemudahan Rakyat (IKR) yang ditawarkan oleh Kementerian Ekonomi bakal dilaksanakan untuk kemudahan dan keselesaan penduduk daerah Putatan.
Setiausaha Politik Menteri Ekonomi, Che Zam Hamzah berkata demikian ketika ditemui selepas Kunjungan Hormat ke Pejabat Majlis Daerah Putatan termasuk lawatan kerja ke tapak projek IKR dan Projek Kecil Berimpak Tinggi Kementerian Ekonomi di sini pada Jumaat.
Jelasnya, antaranya projek tersebut iaitu naik taraf jalan konkrit di Jalan Tahab Kampung (Kg) Duvanson dan Jalan Kg Muhok Lok Kawi Baru, naik taraf surau di Kg Muhibbah dan naik taraf sistem pencahayaan lampu solar sebanyak 85 buah di lima buah kampung di daerah Putatan.
“Ini termasuk membaik pulih gelanggang futsal Program Perumahan Rakyat (PPR) Serigai merupakan satu projek kecil namun akan memberi keselesaan kepada penduduk setempat terutamanya golongan muda.
“Impaknya, seluruh PPR akan gembira kerana kawasan itu akan dibaiki dan dengan ini dasar-dasar kerajaan untuk sampai kepada rakyat biasa itu akan tercapai.
“Projek ini akan bermanfaat untuk golongan muda bersukan dan pada masa sama golongan ini akan meluangkan masa dengan lebih baik iaitu bersukan berbanding melakukan perkara-perkara yang kurang sihat,” jelasnya.
Tambahnya, terdapat beberapa lagi yang akan diangkat dalam projek IKR, antaranya membaiki Dewan Pusat Ekonomi Belia daerah berkenaan.
“Projek melibatkan Dewan Pusat Ekonomi Belia itu juga saya rasa akan turut memberi impak positif kepada anak muda dan sektor ekonomi yang boleh dijana di kawasan tersebut,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau juga berharap lebih banyak projek IKR akan dapat dilaksanakan secara lancar dengan kerjasama semua pihak yang terlibat demi kebaikan seluruh rakyat.

Tambah beliau, pemimpin masyarakat harus bekerjasama dengan agensi pelaksana seperti Majlis Daerah ataupun Pejabat Daerah selain menjaga perhubungan yang baik dengan semua pihak.
“Agensi pelaksana juga harus memainkan peranan mengharmonikan Kerajaan Negeri dan Persekutuan supaya kerja-kerja di bawah kementerian boleh dilaksanakan dalam tempoh yang cepat.
“Seperti IKR, projek kecil yang biasanya mengambil masa tiga bulan, kita harap demi kebaikan rakyat tidak ada birokrasi yang melambatkan proses berkenaan,” katanya.





