
KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menggesa tindakan tegas berhubung insiden paparan Jalur Gemilang yang tidak lengkap.
Fahmi berkata, sekurang-kurangnya lima laporan polis telah dibuat berhubung insiden terbaru membabitkan Jalur Gemilang yang dipamerkan pada acara di sebuah pusat beli-belah di sini.
“Ini adalah kejadian ketiga minggu ini yang melibatkan paparan bendera negara yang tidak sempurna.
“Setakat saya tahu, sekurang-kurangnya lima laporan telah dibuat,” katanya kepada pemberita pada satu majlis di sini.
Fahmi yang juga merupakan Jurucakap Kerajaan Perpaduan dan Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata pihak yang terlibat dalam acara atau program besar wajib mengetahui tatacara pengibaran Jalur Gemilang dan jika gagal ia menjadi satu kesalahan.
“Ini kita serahkan kepada pihak polis untuk siasatan dan sekiranya pihak polis mendapati apa-apa perkara melibatkan undang-undang, kita pohon agar tindakan tegas diambil.
“Wajib faham tentang aspek protokol, pemakaian, penggunaan Jalur Gemilang…ada ketertibannya, ada tata caranya. Kegagalan mematuhi adalah satu kesalahan…kita tak mahu ada pihak ambil jalan mudah kata ini kesilapan. Seharusnya mereka faham dan tahu,” katanya.
Lima laporan itu dibuat oleh wakil PKR dan Umno di Lembah Pantai, Sabtu malam, di Balai Polis Semantan.
Laporan itu difailkan supaya siasatan polis dibuat mengikut Akta Lambang dan Nama 1950 dan Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963.
Pada Sabtu, media melaporkan sebuah vendor makanan bayi Singapura di Mid Valley Megamall mempamerkan video Jalur Gemilang yang tidak lengkap dengan ketiadaan bulan sabit.
Penganjur ekspo telah memohon maaf dan menyatakan bahawa gerai telah ditutup selepas isu berkenaan dan siasatan sedang dijalankan.
Sebelum ini, akhbar Sin Chew Daily dan Kwong Wah Yit Poh telah disiasat atas kesilapan sama yang melibatkan Jalur Gemilang.






