
LEMBAGA Tabung Haji (TH) akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membendung penipuan pakej haji.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata inisiatif itu menyasarkan kandungan dalam talian dan iklan yang mempromosikan pakej haji palsu yang mengelirukan umat Islam yang berhasrat untuk menunaikan haji.
Beliau berkata arahan juga telah dikeluarkan kepada Pengarah Urusan Kumpula. dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Syed Hamadah Syed Othman, untuk memberi perhatian lebih kepada kes melibatkan penipuan pakej haji.
“Dalam masa sama, saya seru supaya mereka yang berhasrat untuk menunaikan haji dan umrah untuk membuat semakan, dalam konteks umrah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) ada sistem yang menyenaraikan ejen bertauliah.
“Dalam konteks haji pula kita ada 37 penyelia jemaah haji yang diberi tauliah dan lesen oleh Tabung Haji, oleh itu orang ramai perlu buat semakan supaya tidak tertipu,” katanya selepas Majlis Penyempurnaan Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Selangor 1446H di Shah Alam, hari ini.
Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika bertitah pada majlis itu mengingatkan umat Islam supaya tidak mengeksploitasi antara satu sama lain dengan menawarkan pakej haji palsu untuk mengaut keuntungan.
Baginda juga bertitah supaya kerajaan dan pihak berkuasa mengambil serius isu tersebut.
Mengulas mengenai jemaah haji Selangor bagi tahun 1446H, Mohd Na’im berkata, seramai 8,338 jemaah dari negeri itu dijangka menunaikan haji tahun ini.
Daerah Hulu Langat mencatatkan jumlah jemaah haji tertinggi dengan 2,771 orang, diikuti Petaling (2,593) dan Gombak (645).
Daerah lain termasuk Klang (640), Sepang (452), Kuala Selangor (371), Kuala Langat (330), Hulu Selangor (309), dan Sabak Bernam (227).



