
SANDAKAN – Seorang lelaki warga asing dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, pada Rabu selepas mengaku bersalah memiliki kayu bakau tanpa kebenaran sah.
Hakim Roslinda Razali, menjatuhkan hukuman tersebut terhadap tertuduh, Ren Ahmad, 42, yang bekerja sebagai nelayan, sebaik sahaja pengakuan bersalah direkodkan.
Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didapati memiliki sembilan batang kayu bakau yang merupakan hasil hutan tanpa cukai di bawah Enakmen Hutan 1968.
Kesalahan berkenaan dilakukan kira-kira pukul 3.30 petang pada 12 Mac lalu di Sungai Batu Putih, di sini.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 30(1)(g)(iii) Enakmen Hutan 1968 yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 30(2)(b) enakmen sama.
Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perhutanan, Elrimeo Emin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.





