
KUCHING – Sukan Muay Thai menjadi sukan tular semenjak kebelakangan ini dalam kalangan belia Sarawak.
Apatah lagi juara gelanggang sukan itu sendiri, Jojo mendapat perhatian dunia hasil daripada menceburkan diri dalam dunia itu.
Penganjuran pertandingan seperti ini berpotensi menjadi gelanggang bagi pembangunan atlet dalam sukan Muay Thai di Sarawak selain memilih pencarian atlet terbaik bagi mewakili Sarawak ke peringkat yang lebih tinggi.
Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Hilmy Othman berkata, pihaknya menyokong penganjuran aktiviti sukan bertaraf antarabangsa itu selain platform anak muda bergiat aktif.
“Sememangnya, kita melihat usaha Persatuan Muay Thai Negeri Sarawak menganjurkan kejohanan ini setiap tahun sangat baik bukan sahaja dari aspek pembangunan atlet.
“Malah turut membuka ruang dan peluang kepada para belia kita di Sarawak amnya,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Kejohanan Muay Thai Piala Yang di-Pertua Negeri Sarawak 2024 di Amphitheatre Waterfront Kuching di Kuching pada Khamis.
Penganjuran Kejohanan Muay Thai kali ini bakal menyaksikan pertarungan dalam pelbagai kategori seperti muaysport, semi pro dan pro.
Lebih 200 peserta mewakili pelbagai kelab tempatan dari seluruh negara menyertai kejohanan yang berlangsung selama 3 hari bermula esok (4 Oktober) hingga 6 Oktober ini.
Kejohanan tersebut juga turut menarik penyertaan 30 peserta dari luar negara iaitu Indonesia, Brunei Darussalam, Thailand dan Iran.






