Lebih 100,000 pelajar Gaza mulakan sesi persekolahan baharu

GAZA – Memasuki hari ke-40 perjanjian gencatan senjata Israel-Palestin, lebih 100,000 pelajar Gaza memulakan sesi persekolahan baharu di Semenanjung Gaza bagi sesi akademik 2025 yang bermula 23 Februari lalu.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), setakat Khamis, 165 buah sekolah awam telah dibuka semula di Gaza.

“Bagi kebanyakan pelajar, ini adalah kali pertama mereka kembali ke pembelajaran secara bersemuka dalam tempoh 16 bulan.

“Setakat semalam, lebih 100,000 pelajar telah mendaftar di sekolah susulan permulaan tahun akademik baharu pada 23 Februari,” kata jurucakap PBB, Stephane Dujarric, dalam satu sidang media.

Menurut angka rasmi Palestin, sebanyak 85 peratus sekolah di Gaza tidak dapat beroperasi akibat pengeboman oleh Israel.

Pejabat Media Gaza melaporkan sekurang-kurangnya 12,800 pelajar serta 800 guru dan kakitangan pentadbiran telah terbunuh, manakala 1,166 institusi pendidikan telah musnah dalam peperangan sejak Oktober 2023. Kerugian dalam sektor pendidikan dianggarkan melebihi AS$2 bilion.

Dujarric turut menyifatkan situasi di seluruh Tebing Barat yang diduduki sebagai sangat membimbangkan.

“Operasi pasukan Israel terus berlanjutan di Jenin, Tulkarm dan Tubas, menyebabkan lebih banyak korban jiwa dan pemindahan penduduk, serta menghalang akses kepada perkhidmatan kesihatan, air, elektrik, dan perkhidmatan penting lain,” katanya.

Memetik Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA), beliau menegaskan bahawa undang-undang antarabangsa mesti dihormati dan orang awam mesti dilindungi.

Perjanjian gencatan senjata telah berkuat kuasa di Gaza pada 19 Januari, menghentikan perang pembunuhan beramai-ramai Israel yang telah membunuh lebih 48,300 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta meninggalkan wilayah itu dalam kehancuran.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap pada November terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant, atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Israel juga berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) susulan kempen ketenteraannya.

  • Related Posts

    Kapal tangki China tembus sekatan AS di Selat Hormuz

    TEHERAN – Sebuah kapal tangki China yang dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat (AS) dilaporkan berjaya melalui Selat Hormuz pada Selasa, walaupun terdapat sekatan AS ke atas laluan sempit strategik itu,…

    Lebih lanjut

    teruskan membaca
    AS, Iran gagal capai kata sepakat selepas 21 jam rundingan

    ISLAMABAD – Amerika Syarikat (AS) dan Iran gagal mencapai sebarang persetujuan selepas lebih 21 jam rundingan damai bersejarah yang berlangsung di Pakistan. Naib Presiden AS, JD Vance, berkata rundingan yang…

    Lebih lanjut

    teruskan membaca

    Perlu dibaca

    Lelongan antik palsu, pengarah syarikat rugi RM222,000

    Lelongan antik palsu, pengarah syarikat rugi RM222,000

    Kos bahan api tinggi, subsidi untuk pusat kebajikan wajar dipertimbang

    Kos bahan api tinggi, subsidi untuk pusat kebajikan wajar dipertimbang

    Bersatu akan kuburkan PN menerusi ‘trojan horse’

    Bersatu akan kuburkan PN menerusi ‘trojan horse’

    Tetapan 13+ diperluas, Meta tingkat keselamatan akaun remaja

    Tetapan 13+ diperluas, Meta tingkat keselamatan akaun remaja

    Isu tenaga, geopolitik jadi fokus pertemuan Anwar–Albanese

    Isu tenaga, geopolitik jadi fokus pertemuan Anwar–Albanese

    Jersi papar unsur judi, Pemuda UMNO desak siasatan

    Jersi papar unsur judi, Pemuda UMNO desak siasatan