PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menggubal Dasar Pendidikan Wajib Sekolah Menengah, bertujuan mengatasi isu berkaitan kehadiran dan keciciran pelajar, sekali gus dapat meningkatkan kualiti pendidikan negara.
Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata dasar berkenaan dijangka dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat yang dijadualkan berlangsung bulan depan.
Beliau berkata, pengenalan dasar baharu itu antara lain bertujuan mengatasi isu ketidakhadiran pelajar pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan datang.
“Ini antara langkah yang dapat kita laksanakan sebaik mungkin bagi mengatasi isu berkait rapat dengan kehadiran, keciciran dan peningkatan kualiti pendidikan dalam negara.
“Beri kita masa sedikit untuk buat ‘conclusion’ (rumusan) berkaitan kehadiran (calon SPM 2024) sehingga kertas terakhir, insya-Allah,” katanya pada sidang media Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) 2025 di Kuala Lumpur, hari ini.
Turut hadir, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah), Zainal Abas dan Pengarah Jabatan Pendidikan Kuala Lumpur, Megat Affandi Ismail.




