
KOTA KINABALU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengesahkan bahawa tiada sebarang elemen pencatutan atau kenaikan harga tidak wajar dikesan sepanjang pelaksanaan inisiatif Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sejak ia dilancarkan.
Timbalan Menterinya, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, pihak kementerian menerima 22 aduan rasmi berkaitan harga barangan dari seluruh negara dalam tempoh 31 Ogos hingga 19 September 2025, dengan aduan tertinggi melibatkan harga lampin pakai buang dan telur.
“Daripada 22 aduan yang diterima, kita dapati tiada elemen pencatutan.
“Harga barangan masih terkawal dan siasatan mendapati tiada sebarang kenaikan tidak wajar,” katanya kepada media selepas mengadakan tinjauan di Sabah, pada Sabtu.

Fuziah turut mengingatkan orang ramai agar menyalurkan sebarang aduan harga melalui saluran rasmi KPDN, bukannya hanya membuat hantaran di media sosial.
“Kadang-kadang mereka bercakap di media sosial, tetapi tidak membuat laporan rasmi.
“Kita perlukan maklumat seperti lokasi dan kedai tertentu untuk bertindak.
“Tanpa maklumat itu, sukar bagi penguat kuasa untuk turun padang,” jelasnya.
Menurutnya, kekeliruan mengenai harga turut berlaku apabila barangan dibeli pada hari selepas promosi tamat.
“Ada pengguna kata harga barang naik, padahal harga promosi telah tamat.
“Papan tanda promosi memang nyatakan tarikh akhir, tapi mungkin ada yang terlepas pandang,” katanya.
Dalam pada itu, Fuziah memaklumkan bahawa ramai penerima bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) tidak sedar bahawa mereka sebenarnya layak menerima SARA secara bulanan bukan sekadar RM100 secara one-off.
“Ada yang baru sedar semasa jualan Rahmah bila semak MyKad, rupanya ada baki RM500.
“Mereka tak tahu mereka layak menerima RM100 atau RM200 sebulan mengikut kategori kelayakan,” ujarnya .
Beliau menasihatkan semua penerima STR agar menyemak status SARA masing-masing, terutamanya mereka yang tergolong dalam kategori miskin tegar, warga emas tinggal bersendirian dan bujang.
“Kerajaan anggarkan lebih 8 juta rakyat sebenarnya layak menerima SARA bulanan.
“Sayang jika mereka tidak menebus bantuan itu,” jelasnya.
Mengulas kejadian banjir dan tanah runtuh di Sabah baru-baru ini, Dr. Fuziah memberi jaminan bahawa KPDN telah mengambil langkah awal bagi memastikan bekalan tidak terputus.
“Bekalan telah diagih lebih awal kepada pengedar-pengedar mengikut zon di seluruh Sabah.
“Jadi apabila berlaku bencana, pengedar terdekat boleh terus salurkan barang ke kawasan terjejas,” katanya.



