
SEMPORNA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna berjaya menumpaskan sindiket penyelewengan 3,000 liter minyak petrol bersubsidi dalam satu serbuan ke atas sebuah lori di stesen minyak di sini, Khamis lepas.
Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDN Semporna, Dr. Jong Jee Leong berkata, serbuan yang dilakukan lima pegawai Penguat Kuasa menerusi Ops Tiris 3.0 itu turut memberkas seorang lelaki kerana memiliki barangan subsidi terbabit.
“Serbuan pada pukul 9 malam itu adalah hasil risikan yang telah dilakukan oleh pihak KPDN sebelum operasi dijalankan yang didapati modus operasi sindiket ini adalah menggunakan lori dan mengisi minyak petrol di beberapa buah stesen minyak sebelum minyak petrol tersebut dikumpulkan dan diedarkan di pasaran gelap.
“Pemeriksaan lanjut ke atas keseluruhan lori itu menemui 120 jerikin (tong) mengandungi cecair yang disyaki minyak petrol dengan kuantiti keseluruhan berjumlah 3,000 liter,” katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.
Menurut Jong, lori beserta kesemua minyak petrol terbabit yang dianggarkan bernilai RM53,369 disita untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).
Tegasnya, pihaknya juga giat melaksanakan pemantauan yang berterusan termasuk bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain bagi memastikan aktiviti sindiket ini dapat dilumpuhkan sepenuhnya.
Sehubungan itu, beliau memberi amaran keras terhadap individu dan syarikat berkaitan bagi mematuhi perundangan ditetapkan agar tidak dikenakan sebarang tindakan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi boleh menyalurkan aduan yang lengkap dan tepat kepada pihak Kementerian melalui saluran WhatsApp 019-848 8000 atau 019-279 4317,
Portal e-Aduan iaitu http://eaduan.kpdn.gov.my,
Call Centre 1-800-886-800, dan
Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN,” tambahnya.





