
PUTRAJAYA – Peningkatan harga minyak di Malaysia bukan hanya berpunca daripada kekurangan bekalan bahan api, sebaliknya didorong oleh kenaikan pelbagai kos lain termasuk insurans dan pengangkutan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, walaupun terdapat beberapa perkembangan yang sedikit melegakan keadaan, situasi keseluruhan masih belum stabil.
“Kalau soal laluan, alhamdulillah hubungan baik kita dengan Iran menyebabkan kapal Petronas sudah melepasi dan dalam beberapa hari lagi akan sampai ke Pengerang, insya-Allah.
“Tetapi, ia tidak berakhir di situ. Kos minyak yang lama, yang diambil sebelum perang, tersangkut di Selat Hormuz dan sekarang beralih ke Pengerang, itu kosnya meningkat kerana kos insurans itu sudah melepasi 100 peratus, kos pengangkutan sendiri juga bertambah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Mengulas lanjut, Anwar berkata pemulihan krisis tenaga global susulan konflik membabitkan Iran, Amerika Syarikat (AS) dan Israel dijangka mengambil masa antara tiga hingga lima tahun.
Katanya, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani berdasarkan tahap kemusnahan serta kerosakan terhadap operasi gas yang memerlukan tempoh panjang untuk dipulihkan sepenuhnya.
“Akibat keganasan yang dimulakan Israel, didukung oleh AS dan tempiasnya ke seluruh negara Teluk serta ekonomi dunia.
“Kalau pun selesai perang esok, Emir Qatar memaklumkan secara langsung kepada saya bahawa ia akan mengambil sekurang-kurangnya tiga tahun untuk melaksanakan sebahagian kerja pembaikan bagi membolehkan operasi gas berjalan dan mungkin antara tiga hingga lima tahun untuk mencapai operasi sepenuhnya,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata walaupun rakyat berdepan tekanan kos sara hidup termasuk kenaikan harga diesel, keadaan di Malaysia masih terkawal berbanding beberapa negara lain yang berdepan krisis lebih serius.
“Kita perlu bersyukur, ekonomi kita tak seteruk seperti negara jiran, tidak beratur di stesen minyak, belum tutup lagi 400 stesen minyak dan tidak ada yang terpaksa berjalan bekerja ke pejabat,” katanya.



