
PAPAR – “Kita tidak runtuhkan Petronas, kita mahu Petronas bantu lahirkan angsa baharu bertelur emas,” kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup merangkap Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali.
Beliau berkata demikian kepada media semasa Program Sentuhan Kasih, Jualan Rahmah MADANI dan Advokasi Kepenggunaan di parkir SMK Takis, di sini pada Sabtu, ketika mengulas kerjasama erat antara Kerajaan Negeri Sabah dengan Petronas sejak tahun 2021.
Menurut Armizan, pertemuan rasmi pertama antara Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bersama kepimpinan Petronas pada 28 Ogos 2021 menjadi titik tolak kepada pemilikan serta penyertaan lebih meluas Sabah dalam industri minyak dan gas.
“Saya dan Datuk Seri Masidi Manjun menyertai delegasi Datuk Seri Hajiji Noor dalam perjumpaan tersebut dan kita telah menyerahkan secara bertulis kepada Petronas aspirasi dan tuntutan Sabah berkaitan industri minyak dan gas.
“Petronas menyambut baik kerana kali pertama mereka menerima kerangka menyeluruh syor dan cadangan daripada negeri berbanding suara dan tuntutan yang didengar secara lisan melalui ucapan-ucapan di pelbagai platform oleh pihak-pihak tertentu,” katanya di sini pada Sabtu.

Hasil daripada perjumpaan itu, termeterai Commercial Collaboration Agreement (CCA) pada 7 Disember 2021 antara Kerajaan Negeri Sabah dan Petronas, yang meletakkan prinsip greater say, greater participation dan greater revenue sharing untuk Sabah.
Jelas Armizan, kerjasama strategik ini bukan sahaja tertumpu kepada isu royalti dan cukai jualan negeri, malah merangkumi pegangan ekuiti dalam pelbagai eksplorasi minyak dan gas, selain peningkatan drastik penyertaan kontraktor tempatan Sabah melebihi 1,000 syarikat.
“SMJ Energy Sdn. Bhd. yang ditubuhkan sebagai anak syarikat kerajaan negeri telah diamanahkan untuk menyelaras penyertaan Sabah dalam keseluruhan rantaian industri upstream, midstream dan downstream,” katanya.

Mengulas dakwaan bahawa tuntutan negeri boleh menjejaskan kedudukan Petronas sebagai ‘angsa bertelur emas’, Armizan menegaskan sebaliknya.
“Kita tidak berniat meruntuhkan Petronas. Hasrat kita adalah, setelah lebih 50 tahun, sudah tiba masanya Petronas membantu melahirkan angsa baharu bertelur emas milik Sabah sendiri, iaitu SMJ Energy Sdn. Bhd,” ujarnya.
Antara yang membuat kenyataan sedemikian ialah bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sembilan bulan lalu menggesa negeri-negeri termasuk Sarawak supaya tidak ‘mematikan’ Petronas berhubung hak minyak dan gas serta tuntutan lain.



