PUTRAJAYA – Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2024 berkaitan kewarganegaraan membabitkan kanak-kanak yang dilahirkan oleh ibu berwarganegara Malaysia di luar Persekutuan, diluluskan di Dewan Rakyat hari ini.
Intipati pindaan RUU itu adalah memperuntukkan hak sama kepada kanak-kanak yang lahir di luar Persekutuan dengan ibunya pada masa kelahiran itu seorang warganegara untuk memperoleh kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang, berbanding hanya jika bapanya seorang warganegara.
Keputusan tersebut diumumkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul selepas undi belah bahagi diadakan, dengan seramai 206 Ahli Parlimen bersetuju, satu tidak bersetuju, manakala 14 tidak hadir selepas dibentangkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Jumlah ialah seramai 221, manakala satu lagi tidak mengundi kerana digantung,” kata Johari ketika mengumumkan keputusan berkenaan.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika sesi penggulungan memberi jaminan untuk mempercepatkan permohonan bagi mendapatkan kewarganegaraan selewat-lewatnya 17 Oktober tahun depan.
Katanya, setakat semalam, 19,317 permohonan kewarganegaraan telah diputuskan untuk diluluskan.
“Statistik terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kelulusan sejak tahun lalu adalah 32,153 permohonan, dengan 80 peratus membabitkan kes yang melebihi lima tahun,” ujarnya di Dewan Rakyat pada Khamis.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, kerajaan telah meneliti dan menambah baik prosedur pengendalian standard permohonan dengan keputusan permohonan akan dimaklumkan dalam tempoh setahun.
“Bagi memastikan proses permohonan kewarganegaraan itu telus, satu prosedur operasi standard (SOP) juga telah dibangunkan, pemohon juga akan mengetahui sebab permohonan mereka ditolak.
“Terutama bagi permohonan paling tinggi Perkara 15A iaitu anak tak sah taraf, anak angkat, anak jagaan dan 19(1) iaitu permohonan naturalisasi.
“Pada hari ini saya nak sebut bahawa SOP bagi kedua-dua fasal ini juga telah siap kita sediakan dan diberi kelulusan oleh Jemaah Menteri,” katanya.








