ALOR SETAR – Peranan pesawah memang tidak dapat dinafikan dalam pembangunan negara. Bagaimanapun bagi meningkatkan lagi hasil pengeluaran mereka berharap melalui belanjawan nanti di bawah Kerajaan Madani diharap akan dapat memberi perhatian kepada pesawah di Malaysia.
Menurut Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah (PeSawah), Abd Rashid Yob, pesawah hari ini memerlukan bantuan tambahan untuk mengurangkan kos pengeluaran.
Katanya, subsidi baja dan racun yang besar bagi input pertanian dapat membantu meringankan beban kos bagi mereka yang sering berdepan dengan peningkatan harga input pertanian.

“Kenaikan harga minimum padi (harga pembelian padi) diperlukan untuk memastikan pesawah mendapat pulangan yang lebih adil.
“Harga minimum yang lebih tinggi akan membantu mereka menampung kos sara hidup yang semakin meningkat. Ini secara tidak langsung dapat mengeluarkan petani dari kepompong kemiskinan terutamanya mereka yang mengusaha dalam berskala kecil,” katanya.
Menurut Abd Rashid lagi, sistem pengairan dan saliran yang baik masih lagi kritikal untuk penanaman padi.
Oleh itu PeSawah menuntut agar kerajaan meningkatkan peruntukkan untuk membaik pulih atau membina infrastruktur pengairan dan saliran bagi mengurangkan risiko kemarau atau banjir yang sering memusnahkan hasil tanaman mereka.
Bagi petani, Shokri Baharom pula, petani hari ini memerlukan akses kepada teknologi moden seperti mesin penuaian dan pembenihan yang boleh meningkatkan produktiviti mereka.

Katanya, bantuan dalam bentuk pinjaman mudah atau geran untuk mendapatkan peralatan mekanisme pertanian boleh meningkatkan kebergantungan kepada tenaga kerja manusia.
“Agensi kerajaan juga diharap dapat memberi lebih banyak program latihan dan kursus kepada pesawah terutama dalam penggunaan teknologi pertanian moden.
“Latihan ini penting untuk memastikan pesawah terutamanya golongan muda dapat memanfaatkan teknologi terkini bagi meningkatkan hasil dan kualiti tanaman padi mereka,” katanya.
Jelasnya lagi, pelaburan yang lebih besar dalam penyelidikan dan pembangunan diperlukan untuk menghasilkan variasi padi yang tahan penyakit, mampu mengatasi cuaca ekstrem serta memberikan hasil yang lebih tinggi.
Dengan sokongan penyelidikan yang kukuh, pesawah akan mendapat manfaat jangka panjang dari teknologi dan inovasi baru.
Melalui sokongan dalam aspek ini, Belanjawan 2025 diharap dapat memainkan peranan penting dalam membaiki kehidupan pesawah dan menyokong kelestarian industri padi di Malaysia.







