
KOTA KINABALU – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menggesa semua pihak, termasuk orang awam dan media, untuk mematuhi prinsip perlindungan kanak-kanak.
Ia susulan pertuduhan terhadap lima individu bawah umur dalam kes melibatkan Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
Suhakam menerusi kenyataan media berkata, kanak-kanak berhak mendapat perlindungan penuh di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611), termasuk sokongan berasaskan trauma, khidmat perundangan dan layanan yang adil.
“Identiti mereka tidak boleh didedahkan secara langsung atau tidak langsung. Nama, gambar, sekolah atau sebarang maklumat yang boleh membawa kepada pengenalan diri mereka tidak boleh didedahkan kepada umum.
“Seksyen 15 Akta 611 tersebut memperuntukkan kesalahan boleh dihukum bagi mana-mana pihak yang menerbitkan sebarang maklumat yang boleh mengenal pasti kanak-kanak yang terlibat dalam prosiding mahkamah.
“Hukuman termasuk denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga 5 tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan media pada Selasa.
Katanya, Mahkamah Bagi Kanak-Kanak adalah mahkamah tertutup di bawah Seksyen 12 Akta 611 dan pihak yang terlibat secara langsung dibenarkan hadir. Privasi kanak-kanak mesti dihormati.
Jelasnya, fokus utama Suhakam adalah untuk mencegah daripada berlakunya stigma terhadap kanak- kanak yang terlibat.
Tegasnya, perbuatan membuli, sama ada di sekolah mahupun dalam talian, sama sekali tidak boleh diterima.
Sehubungan dengan itu, Suhakam menggesa platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok untuk mengemas kini dasar dalaman serta piawaian komuniti mereka bagi mengenal pasti dan memadam secara proaktif apa-apa kandungan yang melanggar Seksyen 15 Akta 611.
“Sebarang kandungan yang diterbitkan dan boleh mengenal pasti kanak-kanak berpotensi menambah mudarat kepada mereka, sama ada secara tidak sengaja atau berniat jahat.
“Keadilan perlu dilaksanakan mengikut prinsip hak kanak-kanak dan kedaulatan undang-undang,” ujarnya.




