
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan tidak pernah meminggirkan masyarakat India, sebaliknya melaksanakan pelbagai inisiatif bantuan yang memberi manfaat besar kepada golongan tersebut selain daripada peruntukan khas menerusi Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).
Beliau berkata, pada tahun 2022 kerajaan memperuntukkan sebanyak RM500 juta melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) untuk masyarakat India, dan jumlah itu meningkat hampir mencecah RM1 bilion dalam tempoh tiga tahun berikutnya.
“Sebagai contoh, bantuan STR pada 2022 bermula dengan setengah bilion ringgit untuk masyarakat India. Untuk tahun 2025, jumlahnya sudah meningkat kepada RM972 juta.
“Oleh itu, tidak benar dakwaan yang mengatakan masyarakat India hanya bergantung kepada MITRA kerana RM1 bilion ini datang daripada sumber di luar MITRA,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan yang dikemukakan oleh S Kesavan (PH–Sungai Siput) berhubung fokus Kerajaan MADANI melalui MITRA atau agensi lain dalam memperkasakan pembangunan sosioekonomi masyarakat India secara menyeluruh.
Anwar turut menjelaskan bahawa kerajaan memperkenalkan Skim Jaminan Kredit Perumahan yang turut memberi manfaat kepada masyarakat India, walaupun majoriti besar penerima adalah daripada kalangan Melayu Bumiputera.
“Skim ini sememangnya majoriti kepada Melayu Bumiputera, sebahagiannya kepada masyarakat Cina, namun masyarakat India juga tidak diketepikan.
“Peruntukan sebanyak RM1.2 bilion telah disalurkan kepada masyarakat India melalui skim ini.
“Selain itu, menerusi belanjawan tahunan, Mitra turut menerima RM100 juta untuk program pembangunan sosioekonomi masyarakat India,” jelasnya.
Sehubungan itu, Perdana Menteri menyeru semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) agar menyampaikan maklumat yang tepat kepada rakyat berhubung bantuan yang disalurkan kerajaan, bagi menangkis dakwaan tidak berasas bahawa masyarakat India dipinggirkan.
“Soal maklumat tidak sampai ini adalah tanggungjawab kita bersama. Saya mohon agar Ahli Parlimen dan ADUN menyampaikan sepenuhnya maklumat berkenaan kepada masyarakat,” katanya.




