
KOTA KINABALU – Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta orang awam agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan kes kematian pelajar, Zara Qairina Mahathir, khususnya menerusi media sosial.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, pihaknya mengesan wujudnya penyebaran maklumat serta gambar kanak-kanak yang dikaitkan dengan kes itu yang dimuat naik dan dikongsi oleh individu tidak bertanggungjawab di platform media sosial.
“Maklumat yang dikongsikan adalah tidak tepat dan berpotensi mengelirukan orang awam.
“Tindakan ini bukan sahaja menjejaskan siasatan yang sedang berlangsung, malah berupaya mengganggu proses keadilan kepada semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.
Beliau berkata segala proses siasatan, termasuk bedah siasat (post-mortem) dijalankan mengikut prosedur dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Justeru, semua pihak dinasihatkan untuk menghentikan penyebaran maklumat yang tidak sahih, termasuk pendedahan berkaitan siasatan kes ini.
Katanya lagi, perbuatan itu merupakan satu kesalahan di bawah beberapa peruntukan undang-undang.
“Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu larangan mendedahkan identiti, alamat, nama sekolah, dan gambar kanak-kanak yang terlibat.
“Seksyen 203A Kanun Keseksaan iaitu kesalahan berkaitan pendedahan maklumat.
“Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” tegasnya.
Beliau berkata, sebarang pelanggaran akan dikenakan tindakan tegas mengikut peruntukan sedia ada.
Tambahnya, PDRM kekal komited memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terus terpelihara demi kepentingan bersama.






