MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur telah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Najib Razak daripada tiga tuduhan pengubahan wang haram dana syarikat pelaburan strategik, SRC International Sdn Bhd berjumlah RM27 juta.
Hakim Mahkamah Tinggi, K Muniandy, membuat keputusan membenarkan permohonan Najib minggu lalu untuk mendapatkan DNAA selepas mendapati tempoh masa yang tidak menentu dan tidak pasti yang menyebabkan bekas perdana menteri itu terpaksa berdepan pertuduhan tanpa sebarang penyelesaian.
Muniandy berkata, ia menyebabkan penantian panjang untuk perbicaraan yang menjadi beban berlarutan kepada tertuduh, sekali gus menafikan hak beliau mendapatkan penyelesaian sewajarnya dan tepat pada masanya, lapor BH Online.
Beliau berkata, mahkamah membuat keputusan itu selepas menimbang faktor terdapat kelewatan terlalu lama dalam memulakan perbicaraan bagi kesalahan pengubahan wang haram terhadap Najib dan pelbagai penangguhan diberikan kepada pendakwaan bagi membolehkan mereka bersedia serta hadir untuk mengendalikan kes ini.
“Proses mahkamah disalahgunakan dengan pelbagai penangguhan dan kes ini masih kekal dalam sistem kehakiman tanpa penyelesaian sejak 2019, sedangkan mahkamah sentiasa bersedia mendengar dan memutuskan kes secara menyeluruh,” katanya, hari ini.
Pada 3 Februari 2019, Najib mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM27 juta, yang digunakan untuk aktiviti tidak mengikut undang-undang, dalam tiga akaun AmPrivate Banking milik beliau.
Bekas perdana menteri itu dituduh melakukan kesalahan berkenaan di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan, pada 8 Julai 2014.
Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 itu membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Muniandy menjelaskan, mahkamah juga mengambil kira fakta semasa bahawa pertuduhan terhadap bekas Presiden UMNO itu merujuk kepada kesalahan yang didakwa dilakukan pada 2014.
“Kini sudah tahun 2025 dan kes ini masih belum dimulakan untuk perbicaraan.
“Berdasarkan faktor itu, perintah yang paling sesuai ialah mahkamah ini melepaskan tertuduh tanpa membebaskannya, supaya beliau tidak lagi dibebani pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.
“Malah, tiada prejudis kepada pihak pendakwaan dengan perintah pelepasan ini, yang dalam istilah umum dikenali sebagai kerana pendakwaan masih boleh meneruskan kes ini sekiranya mereka sudah bersedia pada masa akan datang.
“Sehingga tiba waktunya, tertuduh dilepaskan daripada semua pertuduhan terhadapnya dan perintah yang diberikan adalah DNAA,” katanya.




