PUTRAJAYA – Sekatan akses platform media sosial kepada individu di bawah usia 16 tahun disifatkan sebagai ‘benteng digital’ paling ampuh bagi melumpuhkan ruang gerak pemangsa siber di negara ini.
Langkah itu dilihat menjadi keperluan mendesak susulan pendedahan mengejut dalam Ops Cyber Guardian oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini, yang menemukan ratusan ribu fail bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM).
Operasi besar-besaran itu bukan sahaja membawa kepada penahanan 69 individu termasuk penjawat awam, malah menyaksikan rampasan hampir 500,000 fail eksploitasi seksual, sekali gus mencetuskan kebimbangan mendalam mengenai tahap keselamatan maruah kanak-kanak di ruang maya.
Op Pedo 1.0 dan 2.0 serta Op Cyber Guardian 2025 membawa kepada penahanan 48 individu menerusi 61 serbuan di seluruh negara serta rampasan 148 peranti digital.
Penganalisis keselamatan dan hubungan antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof berpandangan, pendekatan tersebut merupakan langkah pencegahan awal yang penting dalam memperkukuhkan keselamatan digital terhadap kanak-kanak.
Menurut beliau, pendekatan sedemkian berupaya mengurangkan risiko pendedahan kanak-kanak kepada ‘predator’ atau pemangsa seksual, buli siber, kandungan tidak bermoral, serta eksploitasi psikologi yang berlaku melalui platform media sosial.
“Kanak-kanak pada usia muda masih belum memiliki tahap kematangan emosi dan literasi digital yang mencukupi untuk mengenal pasti ancaman dalam talian. Oleh itu, sekatan akses tertentu boleh bertindak sebagai ‘benteng digital’ yang proaktif bagi mengawal interaksi berisiko tinggi.
“Pengesahan umur adalah langkah berkesan kerana ia dapat menyekat akses predator daripada terus berhubung dengan kanak-kanak di ruang terbuka media sosial melalui sistem pengesahan umur bawah 16 tahun.
“Mekanisme gatekeeping atau tapisan umur ini juga boleh menyukarkan akaun rawak, sekali gus mengurangkan pendedahan awal kepada pintu masuk jenayah siber termasuk pengantunan siber atau grooming,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Khamis.

Mengulas lanjut, Nur Ashikin berkata, penggunaan teknologi seperti elektronik Kenali Pelanggan Anda (e-KYC) dan identiti digital mempunyai potensi besar dalam mengurangkan kewujudan akaun palsu yang sering digunakan oleh pelaku jenayah siber untuk menyembunyikan identiti sebenar mereka.
“Dalam konteks keselamatan insan, akaun palsu menjadi medium utama bagi kegiatan eksploitasi seksual, penipuan dalam talian, grooming, dan pemerasan terhadap kanak-kanak. Melalui integrasi e-KYC dan sistem identiti digital, proses pengesahan identiti pengguna menjadi lebih ketat dan sistematik.
“Ini sekali gus menyukarkan penjenayah mewujudkan identiti anonim bagi menjalankan aktiviti jenayah, di samping meningkatkan akauntabiliti pengguna digital serta turut membantu pihak berkuasa mempercepat proses pengesanan dan siasatan jenayah siber,” katanya.
Dalam pada itu, Nur Ashikin berpendapat, pendekatan pencegahan awal melalui sistem pengesahan umur berpusat seperti MyDigital ID lebih berkesan susulan membolehkan platform digital mengenal pasti kategori umur pengguna secara lebih tepat sebelum akses diberikan kepada aplikasi atau kandungan tertentu.

Dalam jangka panjang, beliau berkata, penggunaan teknologi itu mampu menghalang interaksi toksik, eksploitasi seksual, serta akses kepada kandungan berbahaya sejak peringkat awal, berbanding tindakan intervensi selepas jenayah berlaku yang mewujudkan ekosistem digital lebih selamat serta terkawal, khususnya bagi melindungi hak dan keselamatan kanak-kanak dalam ruang siber.
“Tindakan penguatkuasaan sahaja tidak mencukupi tanpa sokongan pendidikan digital, kesedaran masyarakat, penglibatan ibu bapa, institusi pendidikan, serta kerjasama syarikat teknologi dan platform media sosial walaupun operasi bersepadu dilaksanakan membantu mengurangkan jenayah siber dalam kalangan kanak-kanak, keberkesanannya memerlukan pendekatan menyeluruh dan berterusan.
“Operasi pengesanan dan penahanan pelaku jenayah penting bagi meningkatkan rasa takut terhadap hukuman, namun langkah pencegahan awal seperti pendidikan literasi digital, perlindungan data, sistem pemantauan kandungan, dan pengukuhan undang-undang siber juga perlu diperkasa.
“Pendekatan holistik sedemikian amag penting bagi memastikan keselamatan kanak-kanak bukan sahaja dilindungi secara fizikal, tetapi turut melibatkan aspek psikologi, sosial, emosi, dan keselamatan digital mereka dalam era teknologi moden,” katanya.
Sementara itu, Nur Ashikin menyifatkan penemuan dalam Ops Cyber Guardian sebagai amaran jelas bahawa keselamatan digital kanak-kanak kini berada pada tahap kritikal, sekali gus menuntut tindakan segera kerajaan.
Menurutnya, langkah menyekat akses kepada pengguna berusia 16 tahun ke bawah serta mewajibkan pengesahan umur bukan lagi pilihan, sebaliknya anjakan paradigma mendesak bagi menangani ancaman siber selain menamatkan perlindungan anonimiti yang selama ini menjadi ‘perisai’ utama pelaku jenayah seksual dalam talian.
“Ruang tanpa identiti yang sah telah membuka peluang luas kepada pihak tidak bertanggungjawab untuk mengeksploitasi mangsa, khususnya kanak-kanak, tanpa rasa takut dikesan.
“Melalui keperluan dokumen rasmi atau biometrik, setiap akaun kini mempunyai akauntabiliti identiti dan jejak digital yang sah. Ini secara langsung bertindak sebagai pencegah psikologi kerana risiko untuk dikenal pasti dan ditangkap meningkat dengan ketara.
“Pendedahan bahawa lebih 1.47 juta fail digital berkaitan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak dikesan menerusi beberapa operasi besar sejak 2024 menunjukkan bahawa ancaman ini bukan lagi bersifat terpencil, sebaliknya telah berkembang menjadi jenayah siber transnasional yang kompleks,” katanya.





