PUTRAJAYA – Pelantikan Ketua Hakim Negara yang akan datang harus mengambil kira keperluan secara mendalam terhadap keupayaan dalam memahami kerangka perundangan Islam secara holistik.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, ia juga perlu memiliki komitmen untuk mengharmonikan sistem sivil dan syariah secara adil dan menyeluruh.
Menurutnya, keputusan Mahkamah Tinggi yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat bahawa fatwa diwartakan terhadap pertubuhan Sisters in Islam (SIS) tidak boleh terpakai kepada sebuah entiti dilihat berpotensi membuka cabaran lebih besar terhadap autoriti institusi fatwa dan agama Islam negeri.
“Keputusan itu juga mencetuskan kekhuatiran yang mendalam dalam kalangan umat Islam di negara ini. Walau keputusan ini berasas hujahan perundangan sivil berkaitan status entiti korporat, namun kesan jangka panjang perlu dinilai secara lebih menyeluruh.
“Ia menimbulkan persoalan terhadap keberkesanan mekanisme semasa dalam menyekat penyebaran fahaman yang tidak selari dengan semangat Maqasid Syariah dan asas-asas Perlembagaan negara, khususnya dalam peranan Islam sebagai agama Persekutuan,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Jumaat.
Beliau berkata demikian bagi mengulas pendirian Mahkamah Persekutuan, pada Khamis bahawa fatwa pihak berkuasa agama Islam Selangor yang mengisytiharkan SIS Forum (Malaysia) sebagai sesat dan menyeleweng, tidak terpakai kepada pertubuhan itu.
Dalam keputusan majoriti 3-1, panel empat hakim diketuai oleh Tun Tengku Maimun berpendapat, fatwa tersebut tidak boleh digunakan terhadap SIS kerana ia sebuah syarikat, bukan individu yang menganut agama Islam.
Panel itu berpuas hati, sesebuah syarikat tidak ‘menganut’ agama Islam untuk diklasifikasikan secara sah sebagai penganut.
Peguam Kanan Mohamed Haniff Khatri Abdulla memaklumkan, fatwa yang mengisytiharkan fahaman liberalisme dan pluralisme agama sebagai sesat serta menyeleweng daripada ajaran Islam kekal sah dari sudut hukum syarak dan masih terpakai kepada individu Muslim.
Menurutnya, walaupun Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 3-1 membenarkan sebahagian rayuan SIS, namun ia hanya menyentuh aspek pemakaian fatwa terhadap entiti syarikat, bukannya membatalkan keseluruhan fatwa.
Dalam pada itu, Ahmad Fahmi berkata ABIM juga mengambil maklum wujud penghakiman berbeza daripada dua hakim Mahkamah Persekutuan dalam kes berkenaan yang jelas menyuarakan keprihatinan terhadap kesan jangka panjang keputusan majoriti terhadap kedudukan fatwa dan institusi Islam negara.

Perkara ini, tegasnya, membuktikan wujud asas perundangan yang sahih untuk menilai semula keperluan reformasi undang-undang agar keharmonian antara sistem sivil dan syariah dapat dikekalkan secara adil serta menyeluruh.
“ABIM berpandangan bahawa situasi ini memperlihatkan jurang yang semakin melebar antara sistem perundangan syariah dan sivil.
“Jika tidak ditangani secara tuntas dan berhemah, ia boleh menggugat keyakinan umat Islam terhadap kemampuan negara dalam menegakkan prinsip keadilan berasaskan keutuhan Islam sebagai agama persekutuan,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Fahmi berkata, ABIM mengemukakan beberapa saranan antaranya kepada Kerajaan MADANI melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC).
“Ini supaya pihak terbabit mempertimbang untuk merangka mekanisme pengharmonian undang-undang yang mengiktiraf kuasa fatwa secara lebih jelas dalam konteks dwisistem perundangan negara.
“ABIM turut menyeru Parlimen menggubal atau meminda undang-undang yang berkaitan, khususnya Akta Mahkamah Syariah dan Akta Pentadbiran Agama Islam Negeri, bagi memastikan autoriti fatwa tidak terus dipinggirkan dan dapat berfungsi secara berkesan,” katanya.




