PUTRAJAYA – Malaysia bakal melakar sejarah dalam industri teknologi global melalui kerjasama strategik diantara Malaysia dengan syarikat yang berpangkalan di United Kingdom sekaligus bakal mengubah landskap sektor kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor negara.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, Perdana Menteri melihat kerjasama ini sebagai langkah strategik untuk memperkukuh ekosistem teknologi negara sekaligus meletakkan Malaysia sebagai pemain utama dalam arena teknologi global.
“Pemeteraian kerjasama dengan syarikat pereka seni bina cip terbesar di dunia ini adalah hasil inisiatif kerajaan Madani melalui Kementerian Pelaburan Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi.
“Dengan termeterainya perjanjian kerjasama ini, Malaysia mendahului negara lain sebagai rakan ekosistem teknologi pertama bagi syarikat ini menjadikannya hub utama di ASEAN.
“Malaysia juga menjadikan negara pertama di rantau ini di mana syarikat tersebut akan membuka pejabatnya,” katanya menerusi Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disiarkan secara langsung di Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia, pada Rabu.
Menurutnya, kerjasama itu juga membolehkan syarikat Malaysia memanfaatkan teknologi dan kepakaran termaju dalam bidang semikonduktor serta melatih tenaga mahir tempatan.
“Ia juga akan mempercepatkan pertumbuhan teknologi, pertumbuhan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan memperkukuhkan daya saing industri teknologi negara.
“Peluncuran dan pemberteraian kerjasama strategik ini juga menjadi bukti kepercayaan pelabur-pelabur dunia terhadap dasar Kerajaan Madani dan terus melaksanakan kerjasama bernilai tinggi dengan Malaysia,” ujarnya.
Perdana Menteri dijadual menyempurnakan majlis kerjasama strategik Malaysia dan peneraju global semikonduktor bagi pembangunan cip AI di Shangri-La Hotel jam 1.45 petang nanti.
Majlis itu dijangka turut dihadiri Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.






