
PUTRAJAYA – Kerajaan mengambil langkah proaktif untuk memastikan bekalan minyak negara kekal mencukupi termasuk mendapatkan sumber baharu susulan konflik yang berlaku di Asia Barat.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan tidak hanya bergantung kepada bekalan sedia ada, sebaliknya terus berusaha menambah sumber bagi menjamin kelangsungan bekalan tenaga negara.
Pada masa sama, beliau meminta orang ramai supaya tidak membuat spekulasi berhubung kedudukan bekalan minyak negara kerana ia boleh menimbulkan kebimbangan yang tidak berasas.
“Seperti yang dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini, Malaysia mempunyai bekalan minyak yang mencukupi buat masa ini, namun tidak bermakna kerajaan tidak berbuat apa-apa bagi mendapatkan bekalan tambahan.
“Usaha untuk mendapatkan bekalan baharu bagi menggantikan apa yang kita gunakan terus dilakukan oleh Petronas dan syarikat-syarikat minyak lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat khas Jemaah Menteri di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil serta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Sementara itu, Amir Hamzah berkata, prestasi ekonomi negara yang kukuh pada tahun lalu dijangka menjadi asas kepada momentum pertumbuhan ekonomi pada tahun ini walaupun berdepan ketidaktentuan global.
Menurut beliau, pencapaian pertumbuhan ekonomi yang melebihi sasaran kerajaan pada 2025 mencerminkan kekuatan asas ekonomi negara serta keyakinan pelabur terhadap pasaran domestik.
“Alhamdulillah… tahun lepas kita dapat lihat ekonomi Malaysia kembali rancak. Pada suku keempat bagi tahun 2025, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah 6.3 peratus dan keseluruhan tahun itu 5.2 peratus yang dipacu oleh pembaharuan ekonomi yang ada, pelaburan domestik yang berlaku dan perbelanjaan yang ada dalam negara.
“Kita rasa isu ini akan terus mempengaruhi tahun ini. Jadi insya-Allah kita bermula dengan keadaan yang lebih stabil dan lebih kuat daripada apa yang ke hadapan,” katanya.





