
PUTRAJAYA – Kerajaan kini sedang meneliti beberapa cadangan penambahbaikan bagi Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA), termasuk usaha menambah ruang pameran statik bagi menampung keperluan peserta yang semakin meningkat.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kerajaan turut memberi perhatian terhadap permintaan penambahbaikan daripada pihak penganjur bagi memastikan penganjuran LIMA akan datang berlangsung dengan lebih meriah dan berkesan.
“Ada beberapa perkara yang sedang diperhalusi oleh Jemaah Menteri, antaranya cadangan menambah ruang pameran statik.
“Selain itu, kerajaan juga meneliti beberapa penambahbaikan lain yang dikemukakan oleh penganjur,” katanya dalam Sidang Media Mingguan pasca mesyuarat Kabinet, hari ini.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi turut memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam mesyuarat hari ini menyentuh mengenai kejayaan penganjuran LIMA baru-baru ini di Langkawi.
“Perdana Menteri menyatakan penghargaan terhadap kejayaan LIMA kali ini, dan beliau bersama timbalan-timbalan perdana menteri turut hadir dalam majlis perasmiannya,” ujarnya.
LIMA ’25 merupakan anjuran bersama antara Kementerian Pertahanan dengan Global Exhibitions and Conferences Sdn Bhd (GEC) yang memberi penekanan pada inovasi dan peningkatan daya saing dalam kalangan pemain industri sejajar perkembangan teknologi semasa.
Bertemakan “Inovasi Hari Ini Pencapaian Masa Hadapan”, LIMA ’25 berlangsung di Langkawi, Kedah dan merupakan pameran terbesar dalam industri maritim dan aeroangkasa di Asia Tenggara sejak dianjurkan kali pertama pada 1991.





