
KUALA LUMPUR – Malaysia bakal melancarkan satu dokumen penting yang dikenali sebagai Deklarasi Kuala Lumpur sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata, deklarasi tersebut adalah bukti komitmen Malaysia dalam memperkukuh kerjasama serantau dan memainkan peranan aktif dalam agenda pembangunan bersama negara-negara ASEAN.
“Insya-Allah, salah satu daripada dokumen penting yang akan diluncurkan secara rasminya sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 ini ialah Deklarasi Kuala Lumpur.
“Jadi setelah Deklarasi Kuala Lumpur secara rasminya diluncurkan pihak KLN (Kementerian Luar Negeri) dan Sekretariat akan memastikan rakyat serta media mendapat perincian kepada beberapa dokumen yang terkandung di dalam Deklarasi Kuala Lumpur ini.
“Jadi setelah Deklarasi Kuala Lumpur secara rasminya diluncurkan pihak KLN (Kementerian Luar Negeri) dan sekretariat akan memastikan rakyat serta media mendapat perincian kepada beberapa dokumen yang terkandung di dalam Deklarasi Kuala Lumpur ini,” katanya.
Beliau menyampaikan perkara itu ketika mengadakan lawatan ke Pusat Media Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Kuala Lumpur Convention Centre hari ini.
Dalam pada itu, Fahmi memaklumkan bahawa lebih 1,200 orang telah mendaftar untuk membuat liputan Sidang Kemuncak ASEAN, termasuk lebih 500 wakil media antarabangsa.
Beliau menjangkakan jumlah ini akan terus meningkat dan menyeru orang ramai mendapatkan maklumat sahih mengenai sidang tersebut.
Fahmi turut berharap agar media tempatan dan antarabangsa memanfaatkan persidangan ini untuk bekerjasama dalam menyebarkan maklumat secara menyeluruh.







