KERAJAAN akan terus bertindak tegas terhadap sebarang bentuk kegiatan jenayah serta memastikan setiap tindakan penguatkuasaan disiasat secara rapi dan telus bagi memelihara integriti serta kepercayaan rakyat terhadap institusi keselamatan negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan tidak sesekali akan bertolak ansur terhadap penjenayah yang didakwa berkeliaran sehingga memberi gambaran bahawa pihak berkuasa lemah dalam menangani kegiatan mereka.
Mengulas kes tiga penjenayah lelaki yang ditembak mati di Melaka baru-baru ini, Anwar berkata kes berkenaan akan disiasat secara menyeluruh dan telus oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) tanpa sebarang kompromi.
“Saya dapat jaminan daripada Ketua Polis Negara dan Jabatan Siasatan Jenayah (Bukit Aman) bahawa siasatan rapi dan telus (dilaksanakan), tiada tolak ansur. Laporan telah mereka kemukakan kepada Peguam Negara hari ini untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Amir Md Ghazali pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara, hari ini, berhubung langkah kerajaan memperkukuh integriti dan ketelusan penguatkuasaan undang-undang bagi mengekang penyalahgunaan kuasa serta ketirisan dalam agensi penguatkuasaan, termasuk PDRM.
Menurut Anwar, pendirian kerajaan itu membuktikan tiada kompromi akan diberikan sekiranya berlaku sebarang keterlanjuran tindakan oleh pihak polis, sambil menegaskan bahawa setiap dakwaan akan disiasat secara menyeluruh mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Berhubung isu kematian tahanan, beliau berkata terdapat dakwaan yang mengaitkan kes tersebut hanya melibatkan satu kaum, sedangkan fakta sebenar menunjukkan ia turut membabitkan kaum lain, termasuk Melayu (25 orang), Cina (sembilan), India dan Bumiputera Sabah serta Sarawak masing-masing empat orang, selain warga asing (15 orang).
“Tentu ada beberapa kelemahan yang tidak boleh kita nafikan, tetapi untuk kita memberi gambaran negatif, saya fikir tidak adil terutama terhadap PDRM.
“PDRM dalam semua tindakan telah menunjukkan keupayaan mereka melalui proses integriti memperoleh jumlah (rampasan) besar untuk negara. Maknanya tindakan mereka terhadap penjenayah, penyeludup yang membabitkan tindakan berkesan tetapi persepsi (masyarakat) itu berbeza,” katanya.
Pada masa sama, Perdana Menteri mengingatkan masyarakat supaya membezakan antara kes salah laku penguatkuasaan dengan tindakan tegas terhadap penjenayah yang mengancam keselamatan awam, selain menegaskan komitmen kerajaan untuk terus memperkukuh integriti pasukan penguatkuasaan negara.
Beliau turut memaklumkan bahawa jumlah kes membabitkan penjenayah adalah terlalu kecil berbanding populasi negara seramai 34.5 juta orang, iaitu tidak sampai 0.5 peratus daripada keseluruhan rakyat.
Sehubungan itu, Anwar berkata, kerajaan menyediakan mekanisme semak dan imbang bagi memastikan akauntabiliti serta keadilan terus terpelihara, termasuk penubuhan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dan Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC), yang membolehkan mana-mana pihak merujuk kes berkaitan untuk tindakan lanjut sekiranya masih tidak berpuas hati.





