KUALA LUMPUR – Elaun Pasca Cuti Bersalin akan diperkenalkan kerajaan sebagai inisiatif baharu bagi membantu ibu bekerja kekal dalam tenaga buruh, di samping meringankan beban selepas melahirkan anak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu diambil berikutan penurunan kecil kadar penyertaan tenaga buruh wanita, khususnya bagi golongan berusia 25 hingga 39 tahun, yang antara lain dipengaruhi tanggungjawab materniti.
Menurut beliau, elaun berkenaan akan dilaksanakan menerusi pindaan kepada Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 bagi menyediakan sokongan kewangan tambahan kepada ibu yang memerlukan tempoh pemulihan lebih panjang selepas cuti bersalin.
“Rasionalnya ialah kita tidak mahu setelah itu sepertimana yang berlaku selama ini, ibu merasakan terpaksa berhenti dan meninggalkan medan pekerjaan,” katanya ketika menyampaikan amanat sempena Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2026, di sini hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, elaun itu ditetapkan pada kadar 80 peratus daripada gaji anggapan bulanan bagi pekerja wanita yang diinsuranskan dan akan dibayar secara sekali beri (one-off).
“Elaun ini merupakan bantuan kewangan bagi cuti tambahan hingga 30 hari sebulan yang diambil selepas tamat tempoh cuti bersalin 98 hari,” katanya sambil menegaskan komitmen kerajaan dalam memperkasa peranan wanita sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan sosial negara.
Beliau berkata, pelaksanaan inisiatif itu dijangka memanfaatkan lebih 132,000 pekerja wanita di seluruh negara.
Di bawah Akta Kerja 1955, pekerja wanita layak menerima cuti bersalin selama 98 hari secara berterusan termasuk hari rehat dan kelepasan am.
Selain itu, kelayakan elaun bersalin turut tertakluk kepada syarat tertentu, termasuk telah bekerja sekurang-kurangnya 90 hari dalam tempoh sembilan bulan sebelum bersalin, bekerja sekurang-kurangnya sehari dalam tempoh empat bulan sebelum bersalin serta mempunyai kurang daripada lima orang anak yang masih hidup.



