
KOTA KINABALU – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memberi jaminan bahawa kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan gelombang kedua bencana di Sabah berada pada tahap terbaik dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan rakan strategik.
Ketua Pengarah JKM, Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata, kesiapsiagaan itu turut disokong oleh komitmen tinggi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP), untuk membantu negeri ini menghadapi sebarang kemungkinan bencana.
“Dalam mesyuarat JPBP baru-baru ini, Datuk Seri Panglima Sapar Untong telah membangkitkan beberapa isu berkaitan keperluan negeri Sabah dan Alhamdulillah, Timbalan Perdana Menteri telah menyatakan komitmen untuk membantu,” katanya selepas meninjau Depoh Simpanan Keperluan Bencana JKM Sabah, di sini pada Khamis.

Menurutnya, depoh tersebut kini menempatkan pelbagai kelengkapan dan kit bencana bernilai hampir RM2 juta, termasuk keperluan asas seperti peralatan elektrik, kit makanan, selimut serta bahan pembelajaran untuk kanak-kanak di pusat pemindahan sementara (PPS).
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakan strategik seperti Petronas, Sime Darby Malaysia dan syarikat korporat lain yang sentiasa tampil membantu menyalurkan sumbangan kepada mangsa bencana setiap kali berlaku kejadian banjir di negeri itu.
“Kerjasama antara kerajaan pusat, negeri, daerah dan agensi seperti JKM, Agensi Pengerusan Bancana (NADMA), Polis Diraja Malaysia, pasukan Bomba dan Penyelamat, RELA serta NGO amat penting bagi memastikan setiap bantuan diselaraskan dengan baik dan tidak berlaku lambakan barangan yang tidak diperlukan,” ulasnya.
Che Murad berkata, kerajaan MADANI sentiasa menekankan kesiapsiagaan berterusan dengan penugasan anggota JKM dan agensi lain 24 jam sehari, tujuh hari seminggu, memandangkan bencana alam tidak dapat dijangka.
Dalam pada itu, selain bantuan semasa di PPS, beliau berkata mangsa turut menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 bagi setiap isi rumah terjejas, selain pelbagai bantuan negeri dan persekutuan termasuk bantuan kepada warga emas dan OKU.
“Setiap tahun, hampir RM3.2 bilion diperuntukkan kerajaan bagi bantuan kebajikan dan bencana di seluruh negara. Ini menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela,” jelasnya.
Tambahnya, pelbagai inovasi turut diperkenalkan dalam pengurusan bantuan termasuk penyediaan kit bencana lengkap yang disusun lebih sistematik berbanding kaedah terdahulu.
“Kita tidak menjanjikan kemudahan bertaraf hotel lima bintang di PPS, tetapi kerajaan berusaha menyediakan kemudahan selesa dan mencukupi untuk semua mangsa,” ujarnya.







