PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan komited memperhebat tindakan serta keberkesanan agensi penguat kuasa, khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dalam usaha membanteras rasuah, selain memastikan mereka dapat menjalankan tugas tanpa campur tangan.
Beliau berkata, Kerajaan MADANI terus memberi dukungan penuh kepada semua badan penguat kuasa sebagai sebahagian daripada iltizam negara untuk menangani rasuah secara menyeluruh dan berkesan.
“Kerajaan MADANI cuba sedaya upaya memberi seluruh dukungan kepada badan-badan penguatkuasa, termasuk SPRM.
“Jalan kerja mesti tegas, dalam negara demokrasi, kita boleh berbeza pandangan, tetapi yang merisaukan saya apabila ada yang mempertikaikan usaha ini.
“Keras bicara soal rasuah, tetapi pada masa sama mendukung juga perusahaan besar,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
Anwar berkata, kerajaan akan terus memperkukuh kerjasama rentas agensi melibatkan SPRM, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi memastikan tindakan tegas dapat diambil terhadap rasuah serta aktiviti penyeludupan.
Menurutnya, hasil penyelarasan dan kerjasama itu berjaya menyelamatkan RM15.5 bilion wang negara.
“Cuba renungkan, ke mana wang itu pergi kalau kita tidak bertindak? Masuk saku penyakau? Mengapa ia dibiarkan begitu lama? Mengapa tiada tindakan sebelum ini? Ini persoalan yang harus mengetuk hati kita.
“Mengapa negara yang sudah merdeka, kita yang bicara kuat dan lantang soal Islam, soal dakwah, soal Melayu, soal budaya, tetapi membiarkan ini berlaku? Ini penyakit dan ia harus diubati,” katanya.
Beliau turut mengakui bahawa penguat kuasa berdepan risiko tinggi ketika mengasak sindiket besar, termasuk rangkaian penyeludupan.
“Saya ulang di Parlimen, bukan jarum diseludup, tetapi kontena. Bukan satu atau puluhan, tetapi ratusan. Ada yang menyokong usaha ini, termasuk di pihak kerajaan tetapi di blok pembangkang, ada yang mempertikaikan,” katanya.
Anwar berkata, penilaian terhadap usaha membanteras rasuah mestilah berpandukan kejujuran hati dan bukan dipengaruhi sentimen politik.
“Saya bangga bekerja dengan pasukan penguat kuasa yang berani dan tegas. Walaupun media sosial sering memaparkan sisi negatif, kita tidak boleh menafikan tindakan tegas yang membanggakan negara.
“Beritahu saya, negara mana yang dalam masa singkat dapat memecahkan tembok kartel, mematahkan rangkaian penyeludupan besar? Selesai? Belum tetapi ini permulaan yang besar.
“Saya ‘salute’ kepada semua badan penguatkuasaan, SPRM, LHDN, PDRM, Bank Negara, Kastam dan lain-lain. Saya ucap terima kasih bagi pihak seluruh rakyat Malaysia,” katanya.





