
BARCELONA – Kerajaan memberi jaminan akan terus memantau perkembangan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 secara berterusan bagi memastikan keselamatan delegasi Malaysia yang terlibat sentiasa terpelihara sepanjang berada di kawasan berisiko.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang mengetuai delegasi Malaysia berkata, pemantauan rapi dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan perjalanan misi tersebut berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.
Beliau yang berucap melalui pembesar suara dari atas kapal ketika meninjau keadaan aktivis di Laut Mediterranean turut menzahirkan penghargaan terhadap keberanian dan kecekalan peserta Malaysia yang sanggup berhadapan cabaran demi menjayakan misi kemanusiaan itu.
“Kita akan memantau keadaan dari semasa ke semasa, memastikan kelancaran, keselamatan kepada semua delegasi yang datang bersama kita,” katanya.
Amirudin yang turut diiringi sekumpulan peguam daripada Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (Centhra) mengambil kesempatan memberikan suntikan semangat kepada para aktivis Malaysia serta mendoakan agar misi tersebut mencapai matlamat yang ditetapkan.
“Sekali lagi kepada semua delegasi Malaysia, saya ucapkan salam tahniah khusus daripada rakyat Malaysia atas pengorbanan yang telah diberikan.
“Kita doakan perjalanan kita yang baru bermula akan lancar, sampailah dapat kita mencapai misi Sumud Flotilla 2.0. Doa rakyat Malaysia untuk anda semua,” katanya.
GSF 2.0 memulakan pelayaran dari Pelabuhan Barcelona menuju ke Gaza semalam dengan disaksikan ribuan penyokong antarabangsa yang berhimpun di Moll de la Fusta bagi mengiringi pelepasan misi tersebut.
Misi berkenaan bertujuan menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di Gaza selain usaha memecahkan sekatan yang dikenakan Israel ke atas wilayah tersebut.
Lebih 80 kapal dengan kira-kira 1,000 peserta dari pelbagai negara terlibat dalam misi kali ini, yang turut menggabungkan gerakan di laut dengan mobilisasi di darat termasuk advokasi perundangan serta kempen solidariti global.
Turut menyertai misi itu ialah wakil media Bernama, iaitu wartawan Ahmad Aidil Syukri Hamzah dan jurugambar Zulfadhli Zulkifli.





