Bekas pegawai kanan DBKL kekal dipenjara 4 tahun, denda RM1 juta terima suapan RM200,000

PUTRAJAYA – Seorang bekas Timbalan Pengarah Kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diperintah menjalani hukuman penjara empat tahun selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan terhadapnya bagi kesalahan menerima rasuah RM200,000 berkaitan pengeluaran permit kerja untuk subkontraktor.

Sabudin Mohd Salleh, 64, ditahan selepas panel tiga hakim sebulat suara menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman tersebut, hari ini.

Panel itu yang dipengerusikan Datuk Noorin Badaruddin serta dianggotai Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid turut mengekalkan denda RM1 juta dikenakan Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun, mahkamah mengurangkan tempoh penjara ingkar (sekiranya gagal membayar denda) daripada empat tahun kepada dua tahun selepas pihak pendakwaan bersetuju.

Noorin memerintahkan waran komital dikeluarkan untuk Sabudin memulakan hukuman penjara serta-merta kerana sebelum ini dia dibebaskan dengan jaminan dan diberikan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu keputusan rayuan, lapor Bernama.

Menyampaikan keputusan mahkamah Noorin berkata, pendakwaan telah mengemukakan bukti berhubung pembayaran rasuah dibuat kepada perayu berkaitan dengan pelaksanaan tugas rasminya.

Beliau berkata, pendakwaan telah berjaya membuktikan tanpa keraguan yang munasabah bahawa berlaku pertemuan antara pengadu dengan perayu dan perayu menjangkakan kehadiran pengadu di kediamannya.

Hakim itu berkata, wang sebanyak RM200,000 diterima Sabudin dan pembayaran itu dibuat sebagai dorongan berhubung kerja kontrak yang kemudiannya diberikan.

“Kami bersetuju bahawa bukti sedemikian jelas menunjukkan kesalahan tertuduh dan secara berkesan menafikan kesimpulan yang dibuat oleh hakim Mahkamah Sesyen,” katanya.

Beliau berkata, hakim Mahkamah Tinggi telah menilai semula semua bukti dan Mahkamah Rayuan mendapati bahawa tiada sebarang kesilapan dalam proses itu.

Sebaliknya Noorin berkata, hakim Mahkamah Sesyen ketika membebaskan Sabudin gagal menilai keseluruhan bukti dengan sewajarnya dan telah terkhilaf dalam mengaplikasikan prinsip undang-undang yang terpakai.

Beliau berkata, perayu gagal mewujudkan sebarang kaitan munasabah antara dirinya, pengadu dan ‘kartel’ yang didakwa wujud dalam DBKL.

Sebaliknya Noorin berkata, keterangan pengadu, selaku pemberi suapan, adalah konsisten dan boleh dipercayai serta disokong oleh keadaan sekeliling.

Beliau menambah, bukti menunjukkan pengadu mengenali tertuduh seperti yang dibuktikan melalui kehadirannya ke majlis perkahwinan anak lelaki tertuduh iaitu fakta penting yang tidak pernah dicabar sepanjang perbicaraan.

Sabudin didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah RM200,000 daripada Wong May Kuan – subkontraktor bagi Dusari Niaga – ketika dia menyandang jawatan sebagai Timbalan Pengarah Kanan di Jabatan Kejuruteraan Awam dan Pengangkutan Bandar DBKL.

Dusari Niaga menjalankan kerja-kerja penurapan semula jalan di Kuala Lumpur dari 2018 hingga 2020 dan rasuah itu sebagai dorongan untuk mengeluarkan permit kerja kepada syarikat berkenaan.

Kesalahan pertama didakwa dilakukan di sebuah kedai serbaneka sebuah stesen minyak di MRR2, Bukit Antarabangsa, Ampang pada 9 Jun 2018 manakala pertuduhan kedua di rumah Sabudin di Ampang pada 17 Januari 2019.

Sebelum ini, Sabudin dibebaskan Mahkamah Sesyen di akhir kes pendakwaan pada 18 Disember 2020 tanpa dipanggil membela diri.

Pada 24 Mac 2022, Mahkamah Tinggi membenarkan rayuan pendakwaan dan memerintahkan dia membela diri di hadapan hakim Mahkamah Sesyen yang sama.

Pada 15 September tahun yang sama, Sabudin sekali lagi dibebaskan pada akhir kes pembelaan.

Pada 26 Julai 2023, Mahkamah Tinggi mengetepikan keputusan itu dan mensabitkan dia bersalah atas kedua-dua pertuduhan.

Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara empat tahun bagi setiap pertuduhan yang berjalan serentak serta mengenakan denda RM1 juta atau penjara empat tahun, jika gagal membayar denda.

Dalam prosiding yang berjalan hari ini, Sabudin diwakili pasukan peguam diketuai Datuk Akberdin Abdul Kader manakala pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Related Posts

Titah Agong perkasa SPRM sebagai institusi bebas, tolak campur tangan politik

PUTRAJAYA – Bekas hakim serta pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merupakan antara calon paling layak dipertimbangkan dalam mengisi jawatan Ketua Pesuruhjaya baharu buat agensi terbabit. Presiden Pemerhati Rasuah…

Lebih lanjut

teruskan membaca
KKM sangkal dakwaan label hologram gagal, masih berfungsi lindungi pengguna

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) menegaskan dakwaan berhubung kegagalan sistem pengesahan ketulenan label hologram produk kesihatan adalah tidak tepat. Sebaliknya, KKM menerusi kenyataan memaklumkan, mekanisme sedia ada terus berfungsi dengan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Bekas pegawai kanan DBKL kekal dipenjara 4 tahun, denda RM1 juta terima suapan RM200,000

Bekas pegawai kanan DBKL kekal dipenjara 4 tahun, denda RM1 juta terima suapan RM200,000

PMX buktikan Kelantan tidak dipinggirkan, pembangunan lintas politik jadi keutamaan Kerajaan MADANI

PMX buktikan Kelantan tidak dipinggirkan, pembangunan lintas politik jadi keutamaan Kerajaan MADANI

Selat Melaka kekal aman, tidak perlu campur tangan kuasa luar

Selat Melaka kekal aman, tidak perlu campur tangan kuasa luar

Malaysia dipuji ulama antarabangsa, jadi penggerak penyatuan dan keamanan

Malaysia dipuji ulama antarabangsa, jadi penggerak penyatuan dan keamanan

Sarawak berpendirian teguh dalam MA63, tiada kompromi hak Sarawak – Sharifah Hasidah

Sarawak berpendirian teguh dalam MA63, tiada kompromi hak Sarawak – Sharifah Hasidah

Minat membaca generasi muda perlu diperkasa 

Minat membaca generasi muda perlu diperkasa