
BINTANGOR – Penyelewengan 5,030 liter diesel terbongkar selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sarikei menyerbu sebuah premis di Sungai Medor, di sini pada Khamis.
Tindakan itu dilakukan menerusi Ops Tiris 4.0 hasil kerjasama dengan Pasukan Gerakan Am (PGA) Sibu yang terlebih dahulu menjalankan operasi sebelum kes dirujuk kepada KPDN untuk tindakan lanjut.
Pengarah KPDN Sarawak, Matthew Dominic Barin berkata, pemeriksaan mendapati bekalan bahan api tersebut disyaki disimpan tanpa sebarang kebenaran yang sah daripada Pengawal Bekalan.
“Selain rampasan diesel, pihak kami turut menyita sebuah lori jenama Toyota, enam unit tong plastik IBC, 17 unit tong jerikin serta peralatan seperti pam elektrik dan hos getah.

“Jumlah anggaran nilai rampasan bagi minyak diesel adalah sebanyak RM10,814.50, manakala nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan berjumlah RM16,044.50,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau menjelaskan, kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan menimbulkan syak untuk melakukan kesalahan.
Tegasnya, individu yang melakukan kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun, manakala hukuman bagi syarikat pula boleh mencecah denda sehingga RM2 juta.




