PUTRAJAYA – Proses penyusunan semula pentadbiran Negeri Sembilan dilihat semakin jelas apabila spekulasi pelantikan Exco baharu daripada UMNO mula berlegar, susulan kekosongan dalam kerajaan negeri.
Perkembangan ini hadir selepas empat Exco daripada parti itu memulangkan aset rasmi, memberi isyarat bahawa fasa peralihan kepimpinan sedang berlaku, meskipun belum diumumkan secara rasmi.
Sumber memaklumkan, perbincangan di peringkat kepimpinan tertinggi dipercayai telah membuka laluan kepada pengisian semula jawatan tersebut, termasuk hasil pertemuan antara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Langkah itu dilihat sebagai usaha memastikan kesinambungan pentadbiran negeri terus stabil selepas tindakan 14 ADUN BN menarik sokongan sebelum ini.
Dalam kalangan nama yang disebut-sebut, ADUN Lenggeng, Datuk Mohd Asna Mohd Amin antara yang menjadi perhatian, selari dengan kemunculan beliau sebagai pemimpin muda berprofil teknokrat.
Namun, beliau ketika dihubungi The Malaysia Press (TMP) memilih untuk tidak mengulas lanjut berkenaan dakwaan tersebut.
“Apapun krisis (Negeri Sembilan) yang sedang berlaku ketika ini, saya akan patuhi segala arahan yang diberikan oleh Presiden parti (Ahmad Zahid),” katanya ringkas, pada Rabu.
Selain Mohd Asna, ADUN Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir dan ADUN Seri Menanti, Muhammad Sufian Maradzi turut dikaitkan dengan kemungkinan mengisi kekosongan tersebut.
Bagaimanapun, usaha mendapatkan reaksi kedua-dua pemimpin itu tidak berhasil apabila mereka gagal dihubungi setakat ini.
Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan bahawa pelantikan Exco baharu masih belum dibuat, sekali gus menunjukkan proses rundingan masih berjalan.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias turut menolak spekulasi bahawa beliau berminat untuk mengambil alih jawatan Menteri Besar.
Menurutnya, pelantikan itu bukan ditentukan parti, sebaliknya berada di bawah kuasa Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Dengan komposisi semasa DUN yang menyaksikan PH memiliki 17 kerusi, BN (14) dan PN lima kerusi, perhatian kini tertumpu kepada bagaimana penyusunan semula ini akan membentuk landskap politik negeri dalam tempoh terdekat.
Setakat ini, tiada pengumuman rasmi dibuat, namun perkembangan semasa menunjukkan usaha memperkukuh pentadbiran negeri sedang digerakkan.





