TINDAKAN Perikatan Nasional (PN) cuba membentuk kerajaan baharu di Negeri Sembilan susulan krisis politik semasa dilihat sebagai langkah terdesak untuk meraih kuasa, kata pemerhati politik.
Pemerhati politik, Raggie Jessy Rithaudeen berkata, situasi itu tercetus selepas 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO menarik sokongan terhadap Menteri Besar, sekali gus membuka ruang kepada percaturan politik pihak tertentu.
Beliau berkata, PN dilihat pantas mengambil kesempatan dengan cuba memujuk ADUN UMNO bagi membentuk kerajaan baharu, meskipun pada asalnya tindakan ADUN terbabit bukan bertujuan menukar gabungan kerajaan.
“Pada peringkat awal, ia lebih kepada isu dalaman dan usaha menukar kepimpinan Menteri Besar. Namun, PN segera masuk campur dan cuba memanfaatkan keadaan untuk kepentingan politik mereka,” katanya menerusi siaran langsung di Facebook.
Raggie berkata, naratif yang dibawa PN kononnya kerjasama dengan UMNO sudah dimuktamadkan juga disifatkan sebagai tidak berasas dan lebih kepada usaha membina persepsi awam.

“Dakwaan seolah-olah sudah ada persetujuan termasuk penamaan Menteri Besar baharu dilihat sebagai cubaan mewujudkan momentum, sedangkan realitinya perkara itu belum diputuskan,” katanya.
Tambahnya, tindakan itu memperlihatkan keinginan mendesak PN untuk kembali menguasai pentadbiran negeri, khususnya menjelang pilihan raya umum akan datang.
“Penguasaan kerajaan negeri memberi kelebihan dari segi jentera dan sumber, jadi tidak hairan jika mereka cuba mengambil peluang dalam keadaan tidak stabil ini,” katanya.
Bagaimanapun, Raggie menegaskan usaha PN berdepan halangan besar, termasuk pendirian kepimpinan pusat UMNO yang tidak bersetuju untuk bekerjasama serta kekangan undang-undang anti-lompat parti.
“ADUN tidak boleh sewenang-wenangnya membuat keputusan bertentangan dengan parti kerana berisiko kehilangan kerusi. Ini menjadikan percaturan PN sukar direalisasikan,” katanya.
Mengulas perkembangan seterusnya, beliau berkata, beberapa pilihan masih terbuka termasuk menukar Menteri Besar, mengembalikan sokongan sedia ada atau membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Jika kebuntuan berterusan, pembubaran DUN mungkin menjadi jalan terbaik untuk mendapatkan mandat baharu rakyat,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan spekulasi atau maklumat tidak sahih yang tersebar di media sosial berhubung krisis berkenaan.





