
KANGAR – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis bagi Penggal Keempat dijadualkan berlangsung pada 3 hingga 5 Jun 2026 selepas ditangguhkan baru-baru ini.
Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah berkata, penetapan tarikh baharu itu dibuat susulan perbincangan bersama Tuan Speaker serta mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.
“Persidangan Dewan Undangan Negeri Perlis Penggal Keempat akan diadakan pada 3 hingga 5 Jun 2026, iaitu hari Rabu, Khamis dan Jumaat.
“Pindaan tarikh berkenaan dibuat bagi memastikan segala persiapan sidang dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Menurutnya, tempoh pentadbiran negeri yang masih baharu turut diambil kira dalam keputusan tersebut.
Katanya, kerajaan negeri ketika ini sedang merangka hala tuju kepimpinan termasuk penubuhan jawatankuasa peneraju atau perancang Perlis Maju.
“Perancangan ini merangkumi hala tuju pembangunan ekonomi, pelancongan, agama dan pendidikan maju yang akan diumumkan semasa sidang DUN nanti,” katanya.
Beliau menambah, pindaan tarikh itu bukan penangguhan sebaliknya bagi memberi ruang kepada kerajaan negeri membuat persiapan lebih rapi sebelum persidangan berlangsung.



