
MALAYSIA menekan kepentingan untuk tidak terlalu memfokuskan pada angka pertumbuhan selepas unjuran pertumbuhan negara diturunkan yang mencerminkan trend global.
Menteri Kewangan II, Datuk Amir Hamzah berkata, tumpuan perlu diberikan kepada membina daya tahan dan memastikan negara mempunyai dasar yang betul untuk terus berkembang ketika ketidaktentuan global yang meningkat dan perjalanan ini telah dimulakan oleh kerajaan sejak tiga tahun lepas.
Beliau dengan yakin berkata, Malaysia akan terus mencatatkan pertumbuhan pada 2025 walaupun terdapat halangan dan badan multilateral menyemak semula sasaran pertumbuhan yang mencerminkan pertumbuhan global serta jumlah dagangan yang semakin menurun.
Pada Jumaat, Bank Dunia meningkatkan kadar pertumbuhan Keluaran dlDalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi tahun ini pada 3.9 peratus. Awal minggu ini, Tabung Kewangan Antarabangsa menetapkan pertumbuhan pertumbuhan negara pada 4.1 peratus, turun daripada 4.7 peratus sebelumnya.
Ramalan ini lebih rendah daripada sasaran kerajaan iaitu 4.5 peratus hingga 5.5 peratus.
“Perkara yang baik ialah ia (unjuran yang disemak semula) masih mencatatkan pertumbuhan,” katanya pada Forum Kepimpinan ASEAN oleh Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS) yang diadakan di Washington, Amerika Syarikat.
Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, asas ekonomi Malaysia kukuh dan berdaya tahan dengan sokongan permintaan domestik yang teguh, ekonomi yang pelbagai dan pelaburan yang menguntungkan.
“Malaysia kekal pada kedudukan yang baik untuk mengatasi ketidaktentuan global,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, negara mencatatkan pertumbuhan KDNK sebanyak 5.1 peratus pada 2024 lebih tinggi daripada 3.6 peratus yang dicapai pada tahun sebelumnya.
Menerusi perbualan selama sejam itu, Amir Hamzah berkongsi fokus Kerajaan MADANI adalah untuk menetapkan semula ekonomi negara.
“(Antara lain) kami berusaha untuk memacu ekonomi daripada berpendapatan sederhana kepada ekonomi berpendapatan tinggi di peringkat global dan untuk itu, kami perlu berusaha keras dan keluar daripada perangkap berpendapatan sederhana,” katanya.
Beliau berkata, antara salah satu cabaran utama dalam mencapai wawasan ini terletak pada pemikiran semula dan mereka bentuk semula asas ekonomi negara iaitu usaha yang menjadi teras kepada rangka kerja Ekonomi MADANI.
Rangka kerja yang dilancarkan pada 2023 ini mensasarkan tumpuan untuk mereka bentuk semula ekonomi bersama tadbir urus yang baik di samping membina perlindungan sosial serta meningkatkan gaji di negara ini.
“Ini penting kerana masyarakat yang stabil menawarkan persekitaran yang lebih kondusif untuk kemajuan negara. Pada masa yang sama, kami mahu mengukuhkan semula jaringan sosial kami dan meningkatkan tadbir urus yang baik dalam negara,” katanya.
Beliau berkata, antara kuncinya adalah untuk menarik jenis pelaburan tepat yang memberi tumpuan kepada kemahiran dan pelaburan dalam sektor keutamaan baharu.
“Jadi, bukanlah satu kejutan apabila Malaysia berkembang menjadi satu pusat data yang lebih baik di Asia, dan ia juga tidak mengejutkan bahawa kecerdasan buatan (AI) juga telah mengambil kira (dari segi) apa yang boleh kami lakukan dan tawarkan di Malaysia,” katanya.
Pada 2024, pelaburan langsung asing Malaysia mengalami pertumbuhan yang ketara, mencatatkan sejarah tertinggi sebanyak RM378.5 bilion dalam pelaburan diluluskan, peningkatan 14.9 peratus tahun ke tahun.
Amir Hamzah berkata, Malaysia turut mempercepatkan peralihan hijaunya dengan menarik pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui, kenderaan elektrik dan teknologi hidrogen.





