Kerajaan Kedah didesak nyatakan pendirian penganjuran Pesta Songkran

ALOR SETAR – UMNO Kedah mendesak kerajaan negeri segera menyatakan pendirian rasmi berhubung penganjuran Pesta Songkran di negeri ini, susulan kenyataan tegas Pas Pulau Pinang yang menolak pesta tersebut atas alasan bertentangan nilai dan ajaran Islam.

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, tindakan Pas Pulau Pinang menimbulkan persoalan besar mengenai konsistensi pendirian blok kerajaan yang turut merangkumi Pas di Kedah.

“Adakah kerajaan negeri berkongsi pendirian sama seperti Pas Pulau Pinang atau memilih untuk berdiam diri dalam isu melibatkan sensitiviti agama dan kepelbagaian kaum ini?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

UMNO Kedah turut menggesa Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tampil dengan kenyataan rasmi bagi membuktikan kerajaan negeri pimpinan beliau benar-benar berjiwa besar, progresif dan komited melindungi hak serta budaya semua rakyat tanpa mengira agama dan kaum.

“Malangnya hingga kini, pentadbiran Muhammad Sanusi dilihat gagal menunjukkan ketegasan dalam pelbagai isu dasar termasuk aspek sosio-ekonomi, pembangunan negeri dan perpaduan antara kaum.

“Pendirian beliau sering kali kabur, berubah-ubah dan penuh dengan alasan mengelirukan rakyat,” tambahnya.

UMNO Kedah percaya rakyat berhak mengetahui sama ada kerajaan negeri hari ini berdiri teguh bersama prinsip kepelbagaian dan keterangkuman atau tunduk kepada tekanan sempit yang memecah-belahkan rakyat.

“Adakah kerajaan negeri bersetuju atau menolak penganjuran Pesta Songkran sebagaimana ditegaskan Pas Pulau Pinang.

“Kejelasan ini penting demi kesejahteraan bersama dan memastikan semua kaum di Kedah merasa dihormati serta dilindungi di bawah pemerintahan yang adil dan bertanggungjawab,” tegasnya.

UMNO Kedah menekankan kerajaan negeri perlu menunjukkan komitmen terhadap perlindungan hak dan budaya semua rakyat, tanpa mengira latar belakang agama dan kaum.

“Kerajaan yang adil dan bertanggungjawab adalah kerajaan yang mampu menangani isu-isu sensitif dengan bijaksana, tanpa mengabaikan kepentingan mana-mana pihak,” katanya.

Baru-baru ini media melaporkan Pas Pulau Pinang membantah penganjuran program Sonic Splash Songkran Music Beach anjuran Ferringi Heart Beach Club Malaysia yang dijadualkan berlangsung pada hujung minggu ini.

Ketua Penerangan Pas Pulau Pinang, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan berkata, program itu jelas mempromosikan acara yang mencolok mata dan merendahkan martabat nilai insani yang dimuliakan oleh Allah.

Related Posts

Autism Fun Run cetus desakan tambah kemudahan sokongan di Sabah

KOTA KINABALU – Program Autism Fun Run 2026 yang julung kali diadakan di Stadium Universiti Malaysia Sabah bukan sekadar acara santai komuniti, sebaliknya menjadi simbol kebangkitan kesedaran awam terhadap jurang…

Lebih lanjut

teruskan membaca
DBKK nafi terlibat secara langsung anjur ‘Songkran Sunset Splash Run’

KOTA KINABALU – Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menegaskan pihaknya tidak terlibat secara langsung dalam penganjuran program Songkran Sunset Splash Run yang dianjurkan, baru-baru ini. DBKK dalam satu kenyataan pada…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Fitnah larangan takbir: MP Jasin, Harakah diarah bayar RM15,000 kepada menteri

Fitnah larangan takbir: MP Jasin, Harakah diarah bayar RM15,000 kepada menteri

Kempen Internet Selamat diperkasa, tekankan literasi digital dan keselamatan siber

Kempen Internet Selamat diperkasa, tekankan literasi digital dan keselamatan siber

Autism Fun Run cetus desakan tambah kemudahan sokongan di Sabah

Autism Fun Run cetus desakan tambah kemudahan sokongan di Sabah

Jiwa MADANI jadi platform perkasa kefahaman krisis tenaga global – Fahmi

Jiwa MADANI jadi platform perkasa kefahaman krisis tenaga global – Fahmi

DBKK nafi terlibat secara langsung anjur ‘Songkran Sunset Splash Run’

DBKK nafi terlibat secara langsung anjur ‘Songkran Sunset Splash Run’

10,000 pengguna tidak terjejas, kerja paip tiga hari guna teknologi khas

10,000 pengguna tidak terjejas, kerja paip tiga hari guna teknologi khas